WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BOMBA SARAWAK TINGKAT KESIAPSIAGAAN HADAPI KEMUNGKINAN BANJIR MTL

27/11/2025 03:37 PM

KUCHING, 27 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sarawak kini berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi monsun timur laut (MTL), dengan lebih 383 anggota dan 141 pegawai bomba bantuan digerakkan sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan banjir.

Pengarah JBPM Negeri Sarawak Jamri Masran berkata selain itu, Pasukan Gerak Cepat (PGC) turut dilancarkan yang akan menjadi kompas kepada seluruh anggota, dalam memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada paras tertinggi.

“Kita mahu setiap balai, setiap unit dan setiap anggota benar-benar memahami peranan masing-masing, mengetahui prosedur yang tepat, serta bersedia bertindak pantas apabila diperlukan.

“Dalam konteks MTL, masa merupakan faktor kritikal kerana kelewatan walau sesaat mampu memberi impak besar kepada keselamatan nyawa,” kata ketika berucap pada majlis pelancaran Kesiapsagaan JBPM Menghadapi MTL 2025 / 2026.

Sementara itu beliau berkata pihaknya juga telah menerima 17 buah bot bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi MTL, dengan penempatannya difokuskan di kawasan yang kerap terjejas banjir.

“Ini dibuat bagi memudahkan dan menyegerakan gerak kerja penyelamatan mangsa banjir  pada peringkat awal oleh komuniti setempat ke lokasi yang selamat.

“Selain itu kita juga akan menyerahkan peralatan seperti set khemah dan gergaji rantai kepada tiga pasukan bomba sukarela di Kampung Buntal,  Bako Indah dan PBS Bunan Gega,” katanya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng yang mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, bagi merasmikan majlis tersebut yakin dengan dengan perancangan rapi, latihan intensif dan komitmen tinggi JBPM, dapat membantu rakyat pada musim monsun tersebut.

“Kita sedar akan cabaran yang bakal tiba banjir, tanah runtuh, angin kencang dan pelbagai risiko lain yang boleh mengancam nyawa serta harta benda.

“Namun, saya yakin bahawa dengan perancangan rapi, latihan intensif dan komitmen tinggi JBPM, kita akan dapat bertindak balas dengan lebih berkesan, mengurangkan risiko, serta melindungi rakyat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan