KUALA NERUS, 27 Nov (Bernama) - Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) kepada penjawat awam perlu disemak semula, bagi memastikan ia selaras dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat.
Beliau berkata pada masa ini, maklum balas yang diterima menunjukkan kadar berkenaan tidak lagi relevan khususnya pembayaran COLA yang masih dibahagikan kepada tiga peringkat tertakluk kepada lokasi penempatan.
“Sepatutnya hendaklah disamaratakan (COLA) kerana kosnya (kos sara hidup) adalah sama, barangan sama yang dijual pada harga yang sama. Oleh itu, keperluan untuk menyamaratakan bayaran tersebut perlu dibuat semula, dilihat semula dan ditingkatkan semula agar bersesuaian dengan kedudukan kos sara hidup sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Inspirasi Reformasi Pembantu Tadbir MADANI Negeri Terengganu 2025, di sini hari ini.
Adnan berkata penilaian semula kadar bayaran itu sedang diusahakan menerusi perjumpaaan dengan pihak berkaitan, bagi memastikan kebajikan penjawat awam terus dipelihara.
“Itu yang telah kami suarakan (penilaian semula COLA) dan dimaklumkan ia adalah fasa berikutnya. Kami kini meneliti fasa berikutnya itu bagi membolehkan kami membuat persediaan awal terhadap cadangan-cadangan balas yang akan diketengahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.
Sementara itu, Adnan berkata pihaknya masih memperjuangkan isu lantikan tetap melibatkan kakitangan kontrak termasuk melakukan rundingan bersama pihak kerajaan bagi menyelesaikan tersebut.
“Dalam perjuangan kami, kami mahu mereka ini diberikan jawatan tetap. Pada masa akan datang, jawatan tetap ini akan dipanggil jawatan lantikan tetap bercarum.
“Kami berpendapat lantikan tetap bercarum ini tidak akan membebankan kerajaan, sebaliknya boleh membuka lebih banyak ruang perjawatan baharu, kerana ia bukanlah skim pencen biasa diterima penjawat awam sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan berkata keutamaan sewajarnya diberi kepada pekerja kontrak sedia ada yang sudah lama berkhidmat serta menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan supaya dilihat semula keperluan perjawatan.
“Jadi mereka (pekerja kontrak) ini tidak perlu risau dan hanya menunjukkan prestasi serta kebolehan masing-masing, agar mereka boleh dipertimbangkan (diserap tetap)," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial