WILAYAH - SARAWAK > BERITA

YTL CORP, YTL POWER, MALAYAN CEMENT CATAT UNTUNG BERSIH LEBIH TINGGI PADA S1 TK2026

27/11/2025 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih YTL Corporation Bhd (YTL Corp) meningkat kepada RM346.48 juta pada suku pertama berakhir 30 Sept, 2025 (S1 TK2026) daripada RM333.71 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perolehan yang lebih baik itu disokong terutamanya oleh sektor pelaburan dan pembangunan hartanah, perkhidmatan pengurusan dan lain-lain, serta perniagaan simen dan bahan binaan. 

Bagaimanapun, perolehan bagi suku dalam tinjauan, susut kepada RM7.64 bilion daripada RM7.77 bilion pada S1 TK2025, terutamanya terjejas oleh perniagaan pembinaannya. 

Konglomerat itu berkata ia kekal optomis dan berhati-hati terhadap perniagaan pembinaannya walaupun berdepan tekanan inflasi berterusan dan ketidaktentuan geopolitik serta ekonomi global. 

Sementara itu, unit milik penuh YTL, YTL Power International Bhd, iaitu syarikat pelbagai utiliti pula merekodkan keuntungan bersih yang kukuh sebanyak RM500.57 juta pada S1 TK2026 berbanding RM470.60 juta dalam suku yang sama tahun lepas. 

Prestasi yang lebih baik itu didorong terutamanya oleh perniagaan air dan pembetungan dan aktiviti pegangan pelaburannya, yang menerima manfaat daripada kerugian pertukaran asing yang lebih rendah. 

Bagaimanapun, perolehan YTL Power, merosot kepada RM5.36 bilion pada S1 TK2026 daripada RM5.68 bilion pada S1 TK2025, terutamanya dipengaruhi oleh prestasi telekomunikasi. 

Mengenai prospek, YTL Power berkata ia akan terus menawarkan pelan data yang berpatutan dan perkhidmatan 5G yang inovatif dalam perniagaan telekomunikasinya.

“Segmen ini dilihat mampu meningkatkan asas pelanggannya, diperkukuh oleh kerjasama dan perkongsian,” katanya. 

Dalam pada itu, Malayan Cement Bhd, pengeluar simen yang dikawal oleh YTL Corp, turut merekodkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM200.57 juta pada S1 TK2026 daripada RM139.44 juta sebelumnya, disebabkan oleh pendapatan yang lebih tinggi, kos pembaikan dan penyelenggaran yang lebih rendah serta prestasi yang lebih baik disokong oleh peningkatan kecekapan yang berterusan.

Perolehan meningkat kepada RM1.22 bilion daripada RM1.17 bilion sebelumnya. 

Oleh itu, Malayan Cement menjangkakan permintaan terhadap simen terus disokong oleh projek awam, kediaman dan infrastruktur utama, selain pembangunan hab logistik, pusat data dan kemudahan perindustrian. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan