BUKIT KAYU HITAM, 27 Nov (Bernama) -- Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) merakamkan penghargaan kepada rakyat Thailand yang banyak menghulurkan bantuan ketika terkandas akibat banjir di Hat Yai.
Abdul Hannan Abdul Halim, 22, berkata sepanjang tempoh terperangkap di hotel penginapan, banyak bantuan terutama makanan dan keperluan harian dihulurkan oleh warga negara itu kepada pelajar dan pensyarah universiti berkenaan.
“Pertama sekali kami takda elektrik bermula daripada tak silap saya 22 Nov, lebih kurang 5 atau 6 hari kami tiada elektrik dan kami memang susah mengecas telefon, bank kuasa dan iPad.
“… tapi orang Thailand, mereka cabut bateri kereta dan bawa naik tingkat atas untuk bantu kami caj telefon… masyarakat Thailand banyak bantu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata rakyat Thailand juga mengambil inisiatif memasak bubur setiap hari untuk diagihkan kepada semua mangsa yang terkandas di hotel penginapan.
Aaisya Nor Akhbar, 22, pula berkata dia tidak akan melupakan jasa penduduk negara jiran itu dalam membantu pelajar dan pensyarah UUM yang terkandas.
“Tanpa bantuan mereka saya tidak pasti nasib kami ketika terkandas di sana,” katanya.
Aaisya turut merakamkan penghargaan tinggi kepada pensyarah pengiring, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan UUM yang banyak membantu menjaga kebajikan pelajar semasa dalam keadaan yang tidak menentu itu.
“Kami tahu ada banyak halangan yang menyebabkan bantuan kepada kami tidak dapat dilakukan, namun kami sangat menghargai usaha dan inisiatif termasuk daripada badan bukan kerajaan,” katanya.
Hari ini, sebanyak 36 pelajar dan dua pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), UUM yang terkandas banjir di Hat Yai, Thailand sejak 22 Nov lepas tiba di tanah air pada 6.20 petang tadi.
Dua lagi pensyarah universiti itu dijangka dibawa pulang ke Malaysia malam ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial