WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PMI PEMBUATAN MALAYSIA NAIK KEPADA 50.1 PADA NOVEMBER - S&P GLOBAL

01/12/2025 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia yang diselaraskan mengikut musim oleh S&P Global meningkat kepada 50.1 pada November daripada 49.5 pada Oktober, menandakan peningkatan kecil pertama kali prestasi sektor itu sejak Mei 2024.

S&P Global berkata suku terakhir tahun ini mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, sejajar dengan pengembangan selanjutnya dalam pengeluaran rasmi sektor pembuatan pada asas tahunan.

“Sektor pembuatan Malaysia menyaksikan peningkatan dalam keyakinan perniagaan pada November, disokong oleh pertumbuhan semula perniagaan baharu apabila kemasukan pesanan baharu meningkat untuk kali ketiga dalam tempoh empat bulan, kadar yang terpantas sejak April 2022.

“Penambahbaikan keadaan perniagaan ini dipacu oleh peningkatan baharu dalam pesanan baharu. Indeks berada di atas paras 50.0, buat kali keempat bagi 2025 dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga setengah tahun,” menurut firma itu dalam satu nota kajian hari ini.

Ia berkata faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah keyakinan pelanggan yang lebih kukuh dan pelancaran produk baharu.

Sementara itu, firma penarafan global itu turut berkata keyakinan terhadap prospek mendorong pengeluar meningkatkan pengambilan pekerja pada kadar tertinggi sejak September 2022, sekali gus menamatkan isu pengurangan tenaga kerja selama empat bulan berturut-turut.

“Selain itu, syarikat juga berusaha meningkatkan aktiviti pembelian selaras dengan prospek dan keadaan permintaan yang bertambah baik, menjadikan tempoh pengumpulan semasa kepada lima bulan. Ini turut seiring dengan penambahbaikan semula dalam prestasi vendor pada November, yang pertama sejak Mei,” kata S&P Global.

Mengenai ASEAN, PMI Pembuatan ASEAN S&P Global meningkat kepada 53.0 pada November berbanding 52.7 pada Oktober, menunjukkan penambahbaikan ketiga-terkuat dalam prestasi sektor itu dalam sejarah siri berkenaan.

Menurut S&P Global, indeks utama itu pernah mengatasi paras tersebut pada Oktober 2021 dan September 2022, dipacu oleh peningkatan selanjutnya dalam pertumbuhan pesanan baharu dan output pada November.

“Kadar peningkatan adalah hampir sama dan secara keseluruhan kukuh, dengan kenaikan terkini antara yang terpantas dalam sejarah siri tersebut. Namun, berbeza dengan trend pesanan baharu keseluruhan, pengeluar barangan mencatat penurunan baharu dalam pesanan antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan