WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUU ANTIBULI 2025 DIBENTANG, MEKANISME TANGANI BULI DIPERKUKUH

01/12/2025 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025, yang bertujuan mewujudkan mekanisme khusus bagi menangani aduan buli, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU itu memaklumkan bacaan kali kedua dijadualkan pada Rabu ini.

RUU yang mengandungi 54 fasal itu bertujuan mencegah dan menguruskan kes buli di institusi pendidikan serta institusi lain, selain menyediakan peruntukan bagi penubuhan Tribunal Antibuli bagi meningkatkan kesedaran dan pencegahan terhadap gejala tersebut.

Fasal 29 menetapkan bidang kuasa tribunal untuk mendengar sebarang aduan buli yang dibuat oleh ibu, bapa atau penjaga mangsa mengikut keadaan yang diperuntukkan di bawah akta yang dicadangkan.

Fasal 30 pula menyediakan pengecualian bidang kuasa mahkamah sekiranya aduan buli dibuat kepada tribunal oleh mana-mana pengadu.

Menerusi Subfasal 31(4), sebarang prosiding yang melibatkan kanak-kanak hendaklah dijalankan oleh Tribunal secara tidak formal dan mesra kanak-kanak, selaras dengan umur, tahap kematangan serta keadaan kanak-kanak tersebut.

Tribunal juga diwajibkan memberi keutamaan untuk menyelesaikan aduan buli melalui proses pengantaraan bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui oleh pihak-pihak terbabit, dengan syarat kedua-dua pihak memberikan keizinan termaklum dan tribunal menilai pengantaraan itu wajar dalam semua keadaan.

“Jika pihak-pihak mencapai suatu penyelesaian dalam sesi pengantaraan, tribunal hendaklah meluluskan dan merekodkan penyelesaian tersebut, yang kemudiannya berkuat kuasa seolah-olah ia merupakan award tribunal,” menurut RUU itu.

Dalam membuat award di bawah Seksyen 42, tribunal boleh mengeluarkan satu atau lebih perintah, termasuk jika responden ialah seorang dewasa, perintah supaya responden menyiarkan kenyataan permohonan maaf kepada mangsa mengikut cara yang ditetapkan dalam perintah tersebut.

Selain itu, tribunal boleh mengarahkan responden untuk menghapuskan sebarang kandungan berkaitan buli daripada mana-mana platform media sosial, peranti elektronik atau medium penyimpanan digital.

Turut tersenarai ialah perintah bagi responden, atau bagi responden kanak-kanak, ibu, bapa atau penjaga, untuk membayar pampasan atau ganti rugi tidak melebihi RM250,000 bagi sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami mangsa akibat buli.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan