WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TM PERAK KELUARKAN KABEL TEMBAGA, ELAK AKTIVITI KECURIAN - EXCO

01/12/2025 04:43 PM

IPOH, 1 Dis (Bernama) -- Telekom Malaysia Berhad (TM) Perak sedang giat melaksanakan langkah mengeluarkan kabel tembaga bawah tanah yang sudah tidak digunakan lagi secara berperingkat sejajar transformasi rangkaian TM menggunakan teknologi terkini termasuk talian fiber.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Mohd Azlan Helmi berkata sehingga kini TM Perak telah menjalankan aktiviti pengeluaran kabel bawah tanah sepanjang 1,107 kilometer.

“Untuk makluman dewan yang mulia ini, saya ingin menegaskan bahawa bukan semua lurang (manhole) yang dibuka oleh pihak tidak bertanggungjawab mengandungi kabel tembaga seperti yang mereka sangkakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Perbekalan 2026, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Mohd Azlan berkata beberapa lokasi terutamanya di kawasan bandar dan pekan TM telah lama beralih daripada penggunaan kabel tembaga kepada rangkaian fiber optik.

Justeru, beliau berkata apabila pencuri membuka lurang dan mendapati tiada tembaga, terdapat kes mereka bertindak merosakkan atau memotong kabel fiber tersebut kerana kecewa.

Mohd Azlan mendedahkan sebagai contoh, insiden yang berlaku di Kampar pada 27 Nov lepas, lurang TM telah diceroboh dan lapan kabel fiber dipotong, menyebabkan gangguan Internet kepada lebih 4,000 pengguna serta menjejaskan operasi lapan pemancar rangkaian mudah alih.

“Ini bukan sahaja menjejaskan perkhidmatan, malah menimbulkan risiko keselamatan, terutama bagi pengguna yang bergantung pada akses komunikasi untuk kecemasan.

“Perbuatan memotong, mencuri atau mensabotaj kabel, tidak kira sama ada tembaga atau fiber adalah perbuatan jenayah yang mesti kita pandang serius.

"Ia bukan sahaja merosakkan harta benda awam, malah menjejaskan kelangsungan ekonomi digital negeri, perniagaan setempat, pembelajaran pelajar, dan urusan harian rakyat,” katanya sambil menambah budaya sabotaj ini sebelum lebih banyak rakyat dan perniagaan menjadi mangsa.

Beliau berkata kes lurang terbuka masih berleluasa di Perak terutamanya di Daerah Kinta dan statistik hingga Oktober lepas merekodkan 193 kes kecurian kabel dan 515 kes lurang TM terbuka.

“Pihak kerajaan Negeri cakna tentang isu kecurian kabel dan lurang TM terbuka, oleh yang demikian untuk menangani isu ini, pihak TM telah menjalankan beberapa termasuk memateri penutup lurang dan pemasangan lapisan ke dua lurang.

“Tujuan inisiatif ini adalah untuk menutup penutup lurang bagi menghalang atau menyukarkan akses kepada pencuri dan pihak yang tidak bertangungjawab.

“Sehingga kini sebanyak 711 aktiviti memateri penutup lurang telah siap dan pihak TM akan meneruskan aktiviti memateri,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan