WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SYARIKAT PLATFORM INGKAR BAYAR CARUMAN PEKERJA GIG BOLEH DIDENDA RM50,000 ATAU PENJARA DUA TAHUN

01/12/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Syarikat platform yang gagal atau enggan membayar caruman perlindungan sosial sebanyak 10 peratus bagi pekerja gig berdepan tindakan tegas, termasuk denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata peruntukan itu termaktub di bawah Fasal 108 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi memastikan semua pekerja gig dilindungi.

"Apabila disabitkan kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya sekali," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Tuan Che Alias Hamid mengenai bentuk penalti terhadap syarikat platform yang gagal menunaikan tanggungjawab mencarum bagi pekerja gig seperti yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai jumlah kompaun kesalahan yang dikeluarkan terhadap majikan yang ingkar mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Abdul Rahman memaklumkan bahawa setakat Oktober lepas, sebanyak 4,564 tindakan pendakwaan telah diambil terhadap pelbagai kesalahan majikan.

"Daripada jumlah itu, 1,276 kes atau 27.95 peratus melibatkan majikan gagal mencarum Perkeso dengan tunggakan caruman berjumlah RM31.14 juta.

"Kerajaan tidak akan mengeluarkan notis kompaun, sebaliknya tindakan tegas terus diambil melalui pendakwaan di mahkamah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan