WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LELAKI PANDU LORI LAWAN ARUS SEJAUH 150KM DIREMAN TUJUH HARI

01/12/2025 04:59 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Seorang pemandu lori yang ditahan semalam kerana cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dengan memandu secara melawan arus sejauh 150 kilometer direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata suspek lelaki berusia 40 tahun itu akan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor sepanjang tempoh reman berkenaan.

“Reman bagi suspek telah dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kuala Kubu Bharu selepas permohonan dibuat oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Semalam, media melaporkan pusat kawalan menerima panggilan daripada unit kereta peronda (MPV) pada 5.35 pagi yang memaklumkan sebuah lori enggan berhenti apabila diarahkan.

Suspek memandu secara berbahaya dengan melawan arus di laluan menghala ke Tol Tanjung Malim dan Tol Sungai Buloh sebelum berpatah balik ke Tol Bukit Beruntung.

Lelaki itu turut cuba melanggar kenderaan MPV ketika anggota polis cuba memberhentikan lori itu di kawasan berhampiran Tol Bukit Beruntung, sebelum akhirnya ditahan di Taman Bunga Raja Bukit Beruntung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan