KOTA KINABALU, 1 Dis (Bernama) -- Sebanyak 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet negeri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada tujuh ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta masing-masing satu ADUN Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Mendahului senarai ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, yang juga ADUN Kundasang.
Turut mengangkat sumpah ialah Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun yang juga ADUN Karanaan serta Presiden UPKO yang juga ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (ADUN Membakut), Naib Presiden PGRS Datuk Rubin Balang (ADUN Kemabong), Ketua Penerangan PGRS Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (ADUN Apas) dan Ketua Bahagian PGRS Sugut Datuk James Ratib (ADUN Sugut) juga mengangkat sumpah hari ini.
Selain itu, Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Mojungki (ADUN Matunggong), Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin (ADUN Sukau) dan ADUN Melalap Datuk Jamawi Jaafar.
Pada awal pagi semalam, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri ke-17.
Sehubungan dengan itu, komposisi anggota Kabinet Sabah yang telah selesai mengangkat sumpah terdiri lapan daripada GRS iaitu Hajiji, Joachim, Masidi, Mohd Arifin, James, Nizam, Rubin dan Julita.
Sementara itu, Ewon mewakili UPKO, Jafry daripada BN dan Jamawi daripada PH.
Mengikut keputusan rasmi PRN Sabah ke-17, GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.
Parti Warisan (Warisan) pula mendapat 25 kerusi diikuti Barisan Nasional (enam), Bebas (lima), UPKO (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR (dua) manakala Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Pakatan Harapan masing-masing menang satu kerusi.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial