WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBACA BERITA BERNAMA TV MOGESH TERIMA PENGIKTIRAFAN MBOR

01/12/2025 06:13 PM

SERDANG, 1 Dis (Bernama) -- Pembaca berita bahasa Inggeris Bernama TV Dr Mogesh Sababathy yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Imunobiologi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Beliau dinobatkan sebagai Penyampai Berita Pertama yang Memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam Biologi Keimunan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah MBOR, anak kedua kepada Sababathy dan Nagaletchmi itu tidak pernah menyangka akan memperoleh pengiktirafan dan berjaya menamatkan pengajian.

"Kejayaan dan pengiktirafan itu saya dedikasikan kepada ibu bapanya, ahli keluarga, rakan-rakan serta jawatankuasa penyelia yang menyokongnya sepanjang perjalanan pengajian PhD.

“Ketika memulakan pengajian PhD saya mengimpikan dan mempunyai matlamat untuk menjadi seorang pakar imunobiologi yang bukan sahaja menjadi rujukan pada peringkat tempatan, malah diiktiraf di arena  antarabangsa,” katanya.

Mogesh, 27, menerima plak pengiktirafan MBOR itu daripada wakil rasmi MBOR Siti Hajar Johor, dan disaksikan oleh Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM Prof Dr Goh Yong Meng serta Ketua Jabatan Komersial Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mastura Hassan.

Berkongsi mengenai minat terhadap terapi sel tunjang, beliau berkata ia bermula selepas bapanya terlibat dalam satu kemalangan dan pada ketika itu doktor mencadangkan rawatan sel tunjang, namun kos terlalu tinggi serta peluang pulih adalah rendah berikutan kemajuan perubatan yang masih terhad dalam bidang itu.

“Saya berpendapat bahawa perubatan dan kemajuan dalam bidang perubatan wajar boleh diakses oleh lebih ramai orang, khususnya mereka yang memerlukan strategi terapeutik kritikal seperti itu.

"Maka, saya memulakan PhD dan penyelidikan ini, iaitu keradangan paru-paru tetapi menggunakan sel tunjang, yang pernah dicadangkan oleh doktor yang merawat ayah saya.

“Saya berharap dapat terus menyumbang dalam bidang berkenaan dan berusaha untuk menyumbang apa yang mampu dalam keseluruhan terapi dan amalan perubatan, aplikasi menggunakan sel tunjang lebih mudah diakses dan tersedia kepada lebih ramai orang yang memerlukan,” katanya yang mula menyertai agensi berita itu pada 2022.

Beliau berkata pada awalnya hanya datang sebagai tetamu untuk membicarakan mengenai perubahan iklim dan kelestarian, tetapi kemudian dipelawa untuk mencuba menjadi pembaca berita dan selepas beberapa bulan latihan, akhirnya saya muncul pada skrin televisyen. 

Mogesh kini menjadi pembaca berita pada hujung minggu termasuk segmen berita dunia.

Pengalaman sebagai pembaca berita membantu beliau meningkatkan kemampuan untuk  menyampaikan mengenai dapatan saintifik dengan lebih jelas sekali gus membolehkan penonton lebih memahami.

Mogesh berhasrat untuk terus menyumbang dalam bidang imunologi dan penyelidikan sel tunjang, di samping terus aktif dalam bidang penyiaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan