SHAH ALAM, 1 Dis (Bernama) -- Polis menahan 105 warga asing hasil tiga operasi berasingan yang dijalankan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman dengan kerjasama agensi berkaitan di sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam pagi tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata serbuan pertama di sebuah premis kediaman di sekitar Sekinchan pada 2.40 pagi tadi berjaya menahan tiga lelaki berusia 26 hingga 32 tahun serta seorang wanita berusia 24 tahun disyaki merupakan penjaga premis.
Beliau berkata turut ditahan dalam serbuan itu, 14 lelaki berusia 21 hingga 49 tahun dan 22 wanita berusia antara 24 hingga 56 tahun kerana tiada dokumen perjalanan yang sah selain turut merampas enam telefon bimbit.
"Dalam operasi kedua sekitar 2.15 pagi di kawasan jeti Sekinchan, pemeriksaan ke atas sebuah van telah membawa kepada penahanan seorang lelaki bukan warganegara berusia 19 tahun yang bertindak sebagai pemandu dan tekong darat.
"Bersamanya terdapat lima lelaki berusia lingkungan 19 hingga 41 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Polis turut merampas empat telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM157," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli berkata operasi di sekitar perairan Sabak Bernam pada 2.15 pagi hasil rondaan bersama Polis Marin dan pasukan petugas khas Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) telah memintas sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 43 tahun bertindak sebagai tekong bot bersama dua lelaki, juga bukan warganegara berusia lingkungan 35 hingga 46 tahun yang bertindak sebagai pembantu tekong.
"Turut ditahan 48 lelaki berusia antara 16 hingga 56 tahun dan lapan wanita berumur 21 hingga 50 tahun yang semua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Polis turut merampas tiga telefon bimbit," katanya.
Shazeli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 26a ATIPSOM 2007 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata pihaknya komited membanteras aktiviti pemerdagangan orang serta penyeludupan migran dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat selain menyeru kerjasama orang ramai dalam membantu membanteras jenayah terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial