WILAYAH - UTARA > BERITA

LAMPU SOLAR UBAH WAJAH MALAM DI PULAU TUBA

02/12/2025 12:05 PM

LANGKAWI, 2 Dis (Bernama) -- Pembangunan prasarana termasuk pemasangan 100 lampu solar di Pulau Tuba, di sini ialah inisiatif penting dalam memastikan kesejahteraan hidup masyarakat di kawasan luar bandar setanding dengan penduduk di bandar.

Pemasangan lampu solar bertiang, yang berfungsi hampir sama seperti lampu elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB), tetapi menggunakan tenaga cahaya matahari sebagai sumber utama, nyata lebih lestari dan mampu membaiki aspek fizikal dan keselamatan kampung yang dahulunya suram dan tidak selamat akibat kurang pencahayaan.

Bendahari Masjid Al-Hijrah Lubuk Chempedak, Pulau Tuba Faizal Rosli, 43, berkongsi cerita betapa kemudahan pencahayaan itu membantu lebih 100 ahli jemaah masjid menjalankan aktiviti sosial dan keagamaan pada bila-bila masa.

"Dengan kawasan yang lebih terang dan selamat, penduduk boleh menjalankan pelbagai aktiviti seperti  gotong-royong, mesyuarat kampung, atau solat berjemaah dengan lebih selesa termasuk pada waktu malam.

"Pemasangan lampu solar di kawasan tanah perkuburan juga amat melegakan kami, terutamanya ketika mengurus pengebumian jenazah pada waktu malam. Kami sangat bersyukur kerana kerajaan cukup prihatin dengan keperluan ini," katanya kepada Bernama.

Pemasangan lampu solar di pulau berkenaan adalah sebahagian daripada pengisian bagi Program Kampung Angkat MADANI, inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar melalui penyediaan kemudahan asas, peluang ekonomi dan sosial, serta ruang komuniti yang lebih baik.

Pulau Tuba dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Kewangan dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjadi agensi pelaksana, yang menerima peruntukan khas keseluruhan sebanyak RM2.5 juta bagi pembangunan kawasan itu sebagai tarikan pelancongan dan peningkatan taraf hidup penduduk.

Pengerusi Kampung KEDA Teluk Berembang, Pulau Tuba Ahmad Nazri Ramli, 46, berkata tiada yang lebih melegakan selain melihat kanak-kanak serta warga emas dapat berjalan dengan lebih yakin dan selamat pada waktu malam sama ada untuk ke masjid atau ke kelas agama.

"Kampung kami ada 54 rumah termasuk sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses keropok lekor. Sebelum ini, hanya ada lampu jalan biasa, namun jaraknya agak berjauhan. Dengan adanya lampu solar, kemudahan ini melengkapi lampu sedia ada dan menambah baik suasana kampung ini.

"Lampu ini juga memberikan pencahayaan mencukupi pada waktu malam di kawasan yang dahulunya gelap dan berisiko … jalan kampung, kawasan rumah, surau, dan tempat awam menjadi lebih terang, sekali gus membantu mengurangkan risiko kemalangan kecil," katanya.

Ahmad Nazri berkata pemasangan infrastruktur berkenaan juga menyokong gaya hidup lestari dan kesedaran hijau serta menggalakkan penduduk luar bandar memahami dan mengamalkan konsep tenaga hijau.

"Langkah ini turut membuka peluang pendidikan kepada generasi muda tentang pentingnya teknologi tenaga boleh baharu dalam menjaga kelestarian alam sekitar," katanya.

Mengimbas pemasangan lampu solar lebih setahun lepas, Pengerusi Pertubuhan Komuniti Anak Tempatan (PEKAT) Ismail Masa, 48, berkata beliau sendiri terlibat secara langsung dalam proses itu dan berasa sangat bangga kerana usaha bersama-sama penduduk kampung itu memberikan manfaat kepada semua.

Menurutnya, fasiliti itu dibangunkan oleh pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dengan kos pemasangan yang jauh lebih rendah berbanding sistem konvensional.

"Saya bersama dengan ahli-ahli PEKAT bergotong-royong memasang lampu solar di kampung kami. Berbeza dengan lampu elektrik konvensional yang bergantung pada bekalan TNB, lampu solar menggunakan tenaga matahari yang percuma.

"Perkara ini secara langsung menjimatkan kos elektrik jangka panjang untuk kerajaan tempatan atau penduduk yang menanggung bil. Lampu ini juga lebih mudah dipasang, dikendalikan dan diselenggara berbanding sistem lampu tradisional," katanya.

Ismail berkata kawasan luar bandar seperti Pulau Tuba sangat sesuai dilengkapi dengan kemudahan lampu yang hanya memerlukan pendedahan cahaya matahari mencukupi itu.

Sementara itu, bagi pengunjung setia Pulau Tuba, Zus Amliana Armisah, 46, pembangunan prasarana di pulau berkenaan memberikan lebih keselesaan kepada keluarganya yang sering berkunjung untuk beristirahat di sana.

"Dahulu, apabila malam saja malas nak keluar jalan-jalan sebab agak gelap di laluan tertentu, rasa risau juga sebab kita jarang-jarang ke sini. Macam-macam binatang berkeliaran pada waktu malam, kalau tak biasa takut terlanggar dan boleh jadi kemalangan.

"Tetapi sekarang nak jalan malam-malam pun lebih selesa. Banyak laluan dah dipasang lampu solar dan rasa makin seronok pula apabila datang bercuti ke sini," katanya yang berasal dari Kampung Padang Matsirat.

Zus Amliana berkata pemasangan lampu solar merupakan satu langkah bijak dan strategik bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

"Langkah ini bukan sahaja menjamin keselamatan dan kemudahan, tetapi juga menyokong matlamat pembangunan mampan negara dengan memanfaatkan tenaga semula jadi yang bersih dan lestari," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan