WILAYAH - TENGAH > BERITA

SUMBER GAS ASLI SEMAKIN BERKURANG, MALAYSIA TEROKA POTENSI TENAGA NUKLEAR

03/12/2025 04:24 PM

BANGI, 3 Dis (Bernama) -- Malaysia meneroka kemungkinan menggunakan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga jangka panjang berikutan sumber gas asli semakin berkurang, selain terdapat peningkatan permintaan tenaga bersih pada peringkat global.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kerajaan belum membuat keputusan untuk menjana elektrik dengan menggunakan tenaga nuklear, sebaliknya perkara itu hanya akan diputuskan selepas 2030, bergantung pada hasil kajian.

"Saya tidak kata kita memerlukan tenaga nuklear, kita hanya meneroka kemungkinan yang ada. Ada banyak faktor seperti beban asas sumber, iaitu gas asli, deposit kita semakin berkurang dan permintaan tenaga semakin tinggi.

"Itulah sebabnya kita meneroka kemungkinan yang ada dan permintaan untuk tenaga bersih juga terus meningkat di seluruh dunia," katanya kepada media selepas Program Media Showcase Bersama Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Norsham Abdul Latip dan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin.

Chang berkata Malaysia memiliki kepakaran dalam bidang teknologi nuklear termasuk mengoperasikan reaktor penyelidikan sejak 1982, selain pemeriksaan berkala oleh inspektor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

"Kita ada kepakaran yang mencukupi dan sudah tentu kita akan selalu kemas kini dengan perkembangan antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Muhammad Rawi berkata tenaga nuklear telah menyumbang kepada ekonomi negara sebanyak RM9.16 bilion bagi tempoh 2015 hingga 2024 melalui eskport produk berasaskan teknologi nuklear tempatan.

Beliau berkata tahun ini menyaksikan Nuklear Malaysia telah memperkukuh pembangunan teknologi, pemerkasaan bakat dan jalinan kerjasama bersama dengan industri.

"Penggunaan teknologi nuklear dalam sektor perubatan, pertanian, keselamatan makanan dan industri telah berjaya ditingkatkan serta meraih pengiktirafan antarabangsa.

"Pencapaian ini meletakkan asas kukuh bagi industri tempatan memanfaatkan teknologi tinggi demi pertumbuhan ekonomi dan keselamatan negara," katanya.

Menuju ke tahun hadapan, Muhammad Rawi berkata Nuklear Malaysia bercadang menaik taraf fasiliti nuklear kritikal, serta pengukuhan sistem keselamatan, pemantauan radiasi dan pengurusan sisa.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang mengembangkan kajian dan pembangunan (R&D) pengeluaran radioisotop dan radiofarmaseutikal untuk kesihatan, perluasan perkhidmatan iradiasi untuk makanan, peranti perubatan dan eksport.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan