KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kementerian Luar terus memantau perkembangan melibatkan rakyat Malaysia susulan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara bulan lepas.
Dalam kenyataan mengenai situasi terkini pada Khamis, Kementerian Luar mengesahkan bahawa tiga rakyat Malaysia berusia antara 63 hingga 64 tahun yang sebelum ini gagal dihubungi sejak 27 Nov lepas kini telah berjaya dikesan dan dibawa keluar dari kawasan yang terputus hubungan akibat banjir.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar berkata mereka telah diterbangkan oleh Tentera Udara Indonesia dari Lapangan Terbang Rembele di Takengon ke Medan dan tiba di Lapangan Terbang Kualanamu petang semalam.
Menurut Wisma Putra, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan sedang mengatur kepulangan mereka ke Malaysia secepat mungkin.
"Bagaimanapun, seorang wanita rakyat Malaysia berusia 64 tahun masih belum dapat dikesan dan usaha mengesan keberadaannya masih diteruskan.
"Rakyat Malaysia yang mempunyai sebarang maklumat bagi membantu pengesanan beliau diminta segera menghubungi Konsulat Jeneral,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat pada 27 Nov lepas.
Operasi SAR yang memasuki hari ketujuh itu memberi tumpuan di kawasan tebing sungai dan zon tanah runtuh berhampiran Jambatan Kembar.
“Konsulat Jeneral terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia dan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa yang kini membantu pihak berkuasa tempatan dalam prosedur pengecaman yang diperlukan,” menurut Wisma Putra.
Sementara itu, Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan ramalan cuaca tempatan dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa Indonesia.
“Keluarga di Malaysia yang gagal menghubungi ahli keluarga mereka di kawasan terjejas diminta menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Konsulat Jeneral Malaysia di Medan boleh dihubungi melalui talian +62 823-6164-6046 , yang beroperasi secara 24 jam atau e-mel kepada mwmedan@kln.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial