WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN SEA 2027 DIANJURKAN PADA SEPTEMBER DI SARAWAK, PULAU PINANG, JOHOR, KUALA LUMPUR

05/12/2025 09:02 PM

PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 Sept dengan pembahagian kepada empat kluster utama iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur, melibatkan 38 jenis sukan, menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Hannah berkata pemilihan sukan yang dipertandingkan dibuat berdasarkan ketetapan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), kesesuaian venue sedia ada serta pertimbangan tambahan seperti senarai sukan teras, Program Road To Gold (RTG) dan Program Podium.

“Tarikh ini dipilih kerana bertepatan dengan musim cuti universiti. Dari sudut meteorologi, tempoh berkenaan masih sebelum bermulanya musim tengkujuh, sekali gus memastikan keadaan cuaca lebih stabil untuk penganjuran sukan luar.

“Penetapan tarikh juga bertujuan memastikan temasya berlangsung selepas Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 Sept), selain tidak bertembung dengan sebarang acara besar lain,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 Malaysia 2027 di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan kluster Sarawak akan menjadi kluster utama dan lokasi upacara pembukaan, dengan 17 sukan dipertandingkan iaitu akuatik, angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, memanah, menembak, muay thai, petanque, skuasy, taekwondo, tenis dan wushu.

Kluster Pulau Pinang pula melibatkan enam sukan iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong dan floorball  manakala kluster Johor hanya melibatkan satu acara iaitu bola sepak.

Kluster Kuala Lumpur akan menjadi lokasi Upacara Penutup Sukan SEA Malaysia 2027 dengan 14 sukan dipertandingkan iaitu badminton, berbasikal (Velodrom Nasional, Nilai), bola tampar, bola jaring, ekuestrian, hoki, karate, lawan pedang, luncur ais, olahraga, pencak silat, pelayaran (Langkawi), ragbi dan ski air.

Hannah turut memaklumkan bahawa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) akan membentangkan cadangan penuh 38 sukan ini kepada SEAGF pada Isnin ini di Bangkok, Thailand.

Sementara itu, Sukan Para ASEAN ke-14 dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Okt 2027 di Kuala Lumpur, merangkumi 18 sukan termasuk renang para, badminton para, berbasikal para, boccia dan bola keranjang berkerusi roda. 

Turut dipertandingkan ialah bola sepak CP (Celebral Palsy), bola sepak VI (Vision Impairment), catur para, goalball, judo para, lawan pedang berkerusi roda, memanah para, menembak para, olahraga para, ping pong para, powerlifting, tenis berkerusi roda dan tenpin boling para.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memuji kewibawaan kerajaan Malaysia khususnya Hannah atas persetujuan menganjurkan temasya berprestij itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa penetapan sukan terakhir boleh dilakukan 20 bulan sebelum upacara pembukaan Sukan SEA iaitu September 2027.

“Kalau kita kira secara ‘backwards', penghujung tahun depan (2026) atau awal Januari 2026 adalah tarikh akhir. Sebab itu MASOC ditubuhkan untuk menjalinkan hubungan dengan persatuan sukan bagi menilai sukan lain yang mungkin dianjurkan di negeri-negeri terbabit,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Pertandingan Mencipta Logo dan Maskot Rasmi Sukan SEA ke-34 serta Sukan Para ASEAN ke-14 2027 telah dibuka kepada semua warganegara Malaysia.

Penyertaan terbaik bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu RM8,000 beserta sijil untuk tempat pertama, RM5,000 dan sijil untuk tempat kedua, serta RM3,000 dan sijil untuk tempat ketiga.

Pertandingan ini ditutup pada 31 Disember 2025, dan hasil ciptaan boleh dihantar melalui pautan rasmi  https://forms.gle/ZUgb3k3BKUZxaXvi8.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan