WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN SEA 2025: SKUAD SENIOR JADI TARUHAN MISI PERTAHAN EMAS

06/12/2025 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) --Malaysia bakal menurunkan skuad senior bagi misi mempertahankan kejuaraan acara hoki padang lelaki pada Sukan SEA 2025 di Chonburi, Thailand dari 11 hingga 19 Dis ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan memaklumkan skuad negara berada pada landasan terbaik untuk terus menguasai acara dwitahunan itu selepas meraih 17 pingat emas sejak penyertaan sulung di Kuala Lumpur pada 1971 hingga edisi terakhir di Kemboja pada 2023.

Setakat ini, skuad lelaki negara hanya sekali menamatkan saingan selaku naib juara iaitu pada Sukan SEA 1973 di Singapura.

Menurut kenyataan itu, acara berkenaan yang berlangsung di National Sports University, Chonburi akan membabitkan lima negara iaitu Malaysia, Myanmar, Thailand, Indonesia dan Singapura dengan format pertandingan adalah secara liga kumpulan sebelum empat pasukan terbaik mara ke saingan separuh akhir.

Berdasarkan ranking semasa Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia yang menghuni tangga ke-13 dunia muncul pilihan utama, jauh meninggalkan Myanmar (69), Thailand (72), Indonesia (75) dan Singapura (81).

Speedy Tigers dijadual memulakan cabaran menentang Myanmar pada 12 Dis, diikuti Indonesia sehari kemudian, sebelum bertemu Singapura pada 15 Dis. Aksi terakhir peringkat kumpulan adalah menentang tuan rumah, Thailand pada 16 Dis.

Saingan separuh akhir berlangsung pada 18 Dis dengan juara kumpulan berdepan pasukan di tempat keempat, manakala naib juara bertemu pasukan di kedudukan ketiga. Pemenang akan mara ke pentas final pada 19 Dis.

Sementara itu, ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata daripada 18 pemain yang dibawa, hanya 15 pemain beraksi di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

Beliau berkata persaingan dalam kalangan negara ASEAN semakin sengit dan tiada lagi istilah ‘lawan mudah’ biarpun Malaysia memiliki ranking jauh lebih baik.

“ASEAN kinidipenuhi pasukan yang mahu mencabar Malaysia. Kami hormati semua lawan.

“Fokus kami bukan memikirkan siapa yang bukan tandingan, tetapi memastikan kami bermain mengikut standard sendiri dan membawa pulang pingat emas,” katanya.

Sarjit menegaskan Sukan SEA menjadi medan penting bagi persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia, khususnya dalam memperkemaskan set-piece, transisi dan pengurusan permainan supaya Malaysia mencapai momentum terbaik menjelang cabaran lebih besar selepas ini.

Berikut senarai 18 pemain yang menggalas tugas membawa cabaran negara dalam misi memburu pingat emas Sukan SEA 2025.

 

PENJAGA GOL

Muhammad Hafizuddin Othman

Mohammad Rafaizul Mohamad Saini

 

PERTAHANAN

Muhammad Marhan Mohd Jalil

Syed Mohammad Syafiq Syed Cholan

Muhammad Amirul Hamizan Azahar

Faiz Helmi Jali

Muhamad Faris Harizan

Muhammad Najib Abu Hassan

 

TENGAH

Mughni Mohamad Kamal

Mohd Fitri Saari

Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi

Muhammad Shafiq Hassan

Shello Silverius

Alfarico Lance Liau Jr

 

PENYERANG

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal

Norsyafiq Sumantri

Muhajir Abdu Rauf

Amanraj Singh

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan