WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS SIASAT DAKWAAN PEGUAM TERIMA UGUTAN BUNUH

06/12/2025 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Polis sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh seorang peguam yang mendakwa dirinya menerima ugutan bunuh di media sosial semalam, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang diwakilinya melibatkan kes tembak tiga individu, di Melaka, pada 24 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima laporan daripada peguam terbabit pada 5.16 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

“Hasil siasatan mendapati peguam tersebut telah membaca satu komen daripada satu individu yang tidak dikenali menerusi hantaran di platform media sosial ketika berada di pejabatnya di Petaling Jaya.

“Komen yang mengandungi unsur ugutan bunuh tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kes yang sedang dikendalikan peguam tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Shamsudin berkata polis telah merakam keterangan peguam terbabit malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Pada 24 Nov lepas, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Kejadian pada 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.

Kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta.

Pada 3 Dis lepas, media melaporkan ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.

Susulan itu, pada 4 Dis lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan