WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HARIMAU MUDA MULA KEMPEN SUKAN SEA THAILAND DENGAN BENAM LAOS 4-1

06/12/2025 08:11 PM

BANGKOK, 6 Dis (Bernama) --Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara memulakan kempen Kumpulan B dalam kejohanan bola sepak lelaki di Sukan SEA Thailand 2025 dengan kemenangan dramatik 4-1 ke atas Laos di Stadium Nasional Rajamangala di sini, hari ini.

Dibimbing ketua jurulatih Mohd Nafuzi Zain, Harimau Muda menguasai permainan sejak minit awal, namun Laos terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi serangan balas pantas yang disudahkan Bounphaeng Xaysombath pada minit keempat.

Bagaimanapun, Malaysia menyamakan kedudukan pada minit ke-33 hasil kesilapan pertahanan Laos yang memberi ruang kepada Harry Danish Mohd Haizon untuk menolak bola masuk gawang dengan tenang.

Selepas rehat, Harimau Muda mempertingkatkan tempo permainan, memaksa Laos bertahan lebih dalam sebelum Haqimi Azim Rosli Muhammad mengambil peluang tersebut untuk meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-59.

Hanya tiga minit kemudian, pada minit ke-62, tandukan Moses Raj Michel Dass menggandakan kelebihan sebelum gol penutup daripada Muhammad Abu Khalil memastikan tiga mata penuh buat Malaysia pada minit ke-90.

 Malaysia akan bertemu Vietnam pada 11 Dis dalam perlawanan terakhir Kumpulan B yang dijangka menentukan juara kumpulan. Perlawanan tersebut akan turut berlangsung di venue sama.

Hanya dua pasukan dalam Kumpulan A iaitu Thailand dan Timor-Leste selepas Kemboja menarik diri manakala Kumpulan C terdiri daripada juara bertahan, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Singapura.

Pemenang setiap kumpulan serta pasukan naib juara terbaik akan melangkah ke separuh akhir. 

Sebagai rekod, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja selepas menamatkan saingan di tangga keempat pada edisi 2021 di Vietnam.

Malaysia terakhir memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, manakala pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur adalah pencapaian podium terkini mereka.

Untuk berita terkini Sukan SEA Thailand 2025, layari https://seagames.bernama.com

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan