KOTA KINABALU, 11 Dis (Bernama) -- Sabah akan memberikan segala-galanya apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang merupakan penampilan pertama pasukan itu di pentas utama selepas hampir tiga dekad.
Ketua jurulatih The Rhinos, Jean-Paul de Marigny berkata keyakinan dalam kem Sabah kekal tinggi walaupun sedar bakal berdepan cabaran besar daripada Harimau Selatan, sambil menekankan bahawa final ini akan menjadi ujian sebenar tahap kemajuan Sabah di bawah bimbingannya.
“Kita memang sentiasa yakin akan menang perlawanan, ia merupakan cabaran yang besar buat kami. Kita sentiasa menantikan perlawanan menentang pasukan hebat. Ini akan menunjukkan tahap sebenar kami.
“Kami semua juga teruja, terutama untuk rakyat Sabah. Mereka telah menunggu hampir 30 tahun untuk detik ini, dan kami telah mencipta sejarah untuk mereka,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan di Stadium Likas, baru-baru ini.
Marigny turut mengakui beliau berbangga dengan pemain dan petugas pasukan kerana dengan komitmen semua, The Rhinos telah berjaya mencipta kejutan dalam tempoh kurang daripada lapan minggu dengan melangkah ke final Piala FA.
Pada masa sama, jurulatih dari Australia itu tidak menafikan kehebatan pasukan lawan namun berkata Sabah akan tampil dengan pelan taktikal lebih jelas pada aksi final kelak.
Beliau berkata semangat pasukan juga berada pada tahap terbaik selepas kejayaan mereka di separuh akhir, terutama selepas menjaringkan gol yang disifatkan sebagai bertaraf dunia.
“Kami mempunyai pelan yang akan diperhalusi dalam dua hari ini. Setiap pasukan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
“Ini adalah detik membanggakan yang tidak selalu datang. Kami akan memaksimumkan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah. Kami akan buat semua bangga dan percayalah, kami akan lakukan sehala termampu,” katanya.
Sabah akan berdepan JDT dalam aksi final Piala FA pada 14 Dis, 9 malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial