WILAYAH - TENGAH > BERITA

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN NEGARA: 11 DIS

11/12/2025 04:38 PM

 

PELAKSANAAN CO-TEACHING BERSIFAT FLEKSIBEL, HANYA DI SEKOLAH CUKUP GURU 

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kaedah pengajaran berpasukan atau co-teaching yang melibatkan dua guru dalam satu kelas akan dilaksanakan secara fleksibel dan hanya di sekolah yang mempunyai bilangan guru mencukupi.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pada peringkat awal, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kaedah itu bagi mata pelajaran baharu Kurikulum Persekolahan 2027 iaitu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu untuk murid Tahun Satu.

“Apabila co-teaching dilaksanakan, jika seorang daripada guru mengambil cuti atau berlaku kekangan mendapatkan guru sandaran ataupun guru sementara, maka seorang guru tetap boleh melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab kebimbangan dilontarkan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai wujudnya isu shadowing atau tekanan terhadap murid sekiranya dua guru tidak sehaluan dalam pengajaran co-teaching.

-- BERNAMA 

 

KPN PERKENAL SISTEM RAKAN KEPADA PELAJAR SALUR ADUAN KES BULI

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperkenalkan inisiatif Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) bagi kegunaan pelajar membuat aduan kejadian buli dengan lebih efektif.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperluaskan penggunaan sistem yang diperkenalkan pada Jun lepas bagi kemudahan pelajar sekolah.

“Anak muda atau pelajar yang mengetahui kejadian buli boleh guna sistem ini kerana sudah ada identiti atau whistleblower protection dan mereka boleh memuat naik gambar dan kita ada dashboard realtime untuk membanteras aktiviti buli,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli yang ingin tahu usaha kementerian untuk memperluaskan penggunaan sistem RAKAN kepada semua jabatan berkaitan.

-- BERNAMA

 

3,227 GURU BAHARU DITEMPATKAN DI SARAWAK SETAKAT NOVEMBER 2025  

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) --  Persidangan Dewan Negara hari ini dimaklumkan seramai 3,227 guru baharu berjaya ditempatkan di Sarawak bagi memenuhi keperluan perkhidmatan pendidikan di negeri itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata daripada jumlah itu, 1,078 orang atau 33.4 peratus ditempatkan di sekolah pedalaman, manakala 2,149 orang atau 66.6 peratus lagi dihantar ke sekolah di kawasan lain berdasarkan kekosongan jawatan serta keperluan opsyen mengikut sekolah dan daerah.

Beliau berkata kadar pengisian jawatan guru di seluruh Sarawak juga adalah dinamik, mencapai 98.42 peratus manakala kadar pengisian khusus di kawasan pedalaman berada pada tahap 97 peratus hingga November tahun ini.

Wong berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai jumlah peratusan kadar penempatan guru baharu di pedalaman Sarawak dan jumlah kekosongan yang belum diisi setakat pertengahan tahun ini. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan