WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IPP MALAYSIA MENINGKAT 6.0 PERATUS PADA OKTOBER 2025 - PERANGKAAN

12/12/2025 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 6.0 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2025, mengekalkan momentum positif dalam kesemua sektor, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IPP mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada Oktober 2025, berbanding 5.7 peratus pada September 2025.

“Pertumbuhan output dalam sektor pembuatan mendahului dengan peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding 5.0 peratus, diikuti oleh kenaikan 5.8 peratus dalam pengeluaran sektor Perlombongan (September 2025: 10.2 peratus).

"Selain itu, sektor elektrik bertumbuh 1.2 peratus (September 2025: 2.8 peratus)," kata DOSM dalam laporan IPP bagi Oktober.

Ia berkata untuk perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP meningkat semula kepada 2.1 peratus berbanding negatif 0.02 peratus yang direkodkan pada September 2025.

Pengeluaran sektor pembuatan pada Oktober dipacu terutamanya oleh pertumbuhan industri berorientasikan eksport sebanyak 7.2 peratus, meningkat daripada 4.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Kenaikan ketara ini dapat dilihat terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang melonjak pada kadar lebih pantas iaitu 14.2 peratus; dan diikuti oleh subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan yang terus mengukuh sebanyak 12.9 peratus.

Prestasi industri berorientasikan eksport ini adalah selari dengan pertumbuhan 9.2 peratus dalam prestasi eksport barangan perkilangan negara pada Oktober 2025.

"Industri berorientasikan eksport meningkat 0.9 peratus berbanding 0.8 peratus yang direkodkan pada September 2025," katanya.

Mohd Uzir berkata industri berorientasikan domestik bertumbuh sederhana sebanyak 4.9 peratus berbanding peningkatan 5.3 peratus yang dicatatkan pada September 2025.

Pertumbuhan berterusan ini didorong terutamanya oleh momentum stabil yang direkodkan dalam pembuatan produk prosesan makanan; dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan masing-masing mencatatkan peningkatan 8.7 peratus dan 7.1 peratus.

Melihat kepada prestasi beberapa negara lain, beliau berkata IPP meningkat bagi Singapura (29.1 peratus) dan Vietnam (10.9 peratus).

Sementara itu, China (4.9 peratus), Japan (1.5 peratus) dan Taiwan (14.5 peratus) pula mencatatkan pertumbuhan positif yang lebih perlahan pada Oktober 2025. Sebaliknya, hanya Thailand dan Korea Selatan mengalami penurunan pertumbuhan pada bulan ini, masing-masing pada -0.1 peratus dan -8.1 peratus.

Bagi prestasi untuk tempoh Januari-Oktober 2025, IPP bertumbuh pada kadar lebih sederhana iaitu 3.4 peratus berbanding 3.7 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas, dipengaruhi oleh indeks pembuatan (4.3 peratus), diikuti oleh indeks perlombongan dan indeks elektrik masing-masing merekodkan pertumbuhan 0.8 peratus dan 0.2 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan