MELAKA, 12 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperuntukkan dana sebanyak RM310 juta untuk membangunkan infrastruktur kesalinghubungan bagi inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata peruntukan itu akan menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai bandar warisan digital selaras dengan statusnya sebagai negeri warisan.
“MCMC telah mengadakan sesi perbincangan untuk membantu melaksanakan pelan tindakan Melaka Pintar 2035... ini menjadi panduan utama kepada transformasi digital negeri ke arah pembangunan lestari, berdaya huni dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Melaka dan MCMC dalam Pembangunan Infrastruktur Kesalinghubungan bagi Inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka.
MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, dengan disaksikan oleh Fahmi serta Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Fahmi berkata beberapa inisiatif utama akan dilaksana menerusi MoU itu termasuk pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik melalui Melaka Network Operation and Command Centre.
Turut akan dilaksana ialah pengurusan pelancongan warisan berasaskan teknologi pintar serta inisiatif pengurusan banjir menggunakan sistem amaran awal dan sensor teknologi Internet Kebendaan (IoT).
“Infrastruktur kesalinghubungan pintar menyediakan asas kukuh dalam pembangunan bandar pintar terutamanya dalam penyediaan rangkaian gentian optik, tiang pintar dan Wi-Fi awam bagi meningkatkan akses kepada capaian Internet di seluruh negeri Melaka.
“Usaha ini turut merangsang pembangunan ekonomi digital tempatan dengan memperkukuh infrastruktur komunikasi bagi menyokong sektor pelancongan, peruncitan, logistik serta perusahaan kecil dan sederhana sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan,” katanya.
Semasa sidang media selepas itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi melihat Kerajaan Negeri Melaka mempunyai hala tuju dan berpandangan jauh terhadap usaha mendigitalkan pelbagai aspek perkhidmatan.
“Asas kepada perkhidmatan digital ini semestinya infrastruktur digital itu sendiri... kalau hendak dibandingkan dengan beberapa inisiatif MCMC yang lain, (projek) kali ini merangkumi seluruh negeri (dan) bukan sekadar kawasan bandar supaya dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat.
“Saya percaya kita akan dapat mulakan fasa pertama dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial