WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DISNEY LABUR US$1 BILION DALAM OPENAI, PERJANJIAN TERMASUK PENGGUNAAN WATAK IKONIK

12/12/2025 08:19 PM

SAN JOSÉ (California), 12 Dis (Bernama-dpa) -- Peminat watak Disney dan Marvel seperti Mickey Mouse dan Iron Man tidak lama lagi boleh muncul bersama watak kegemaran mereka dalam video pendek dan imej menggunakan ChatGPT serta Sora, iaitu alat penjanaan video pendek OpenAI, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Disney bersetuju melabur US$1 bilion dalam OpenAI, pembangun ChatGPT, selain memperoleh pilihan untuk menambah pegangan saham pada masa hadapan.

Kedua-dua syarikat pada Khamis memaklumkan bahawa perjanjian pelesenan itu akan “membuka kemungkinan baharu dalam penceritaan imaginasi.”

Pengguna ChatGPT Images akan dapat menjana imej yang menampilkan lebih 200 watak Disney menggunakan kecerdasan buatan, sesuatu yang lazimnya tertakluk kepada sekatan hak cipta.

Disney juga akan menjadi pelanggan OpenAI, dengan menggunakan perisian AI syarikat itu untuk perkhidmatan penstriman Disney+ serta menyediakan chatbot ChatGPT kepada para pekerjanya.

OpenAI mula melancarkan aplikasi Sora pada akhir September, yang membolehkan pengguna menghasilkan klip video pendek menampilkan diri sendiri dan rakan-rakan melalui arahan bertulis.

Pada peringkat awal, aplikasi itu turut membenarkan penggunaan watak dengan hak cipta, dengan Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI Sam Altman mencadangkan agar pemegang hak mengemukakan bantahan sekiranya tidak bersetuju.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, OpenAI mengubah pendekatan dan memutuskan untuk mendapatkan perjanjian pelesenan seperti yang kini dimeterai bersama Disney.

OpenAI sejak sekian lama berdepan tindakan undang-undang daripada beberapa penulis dan organisasi media, yang menuduh syarikat itu melatih perisian AI menggunakan harta intelek mereka tanpa kebenaran.

Watak-watak Disney yang biasanya dilakonkan oleh manusia hanya akan muncul dalam bentuk animasi dalam aplikasi OpenAI sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Syarikat berkenaan turut memaklumkan bahawa suara pelakon tidak akan digunakan.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan