WILAYAH - SARAWAK > BERITA

12 MAUT DALAM TEMBAKAN DI BONDI BEACH, SYDNEY – LAPORAN

14/12/2025 08:46 PM

MOSCOW, 14 Dis (Bernama-Agensi) -- Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam satu kejadian tembakan di Bondi Beach, Sydney pada Ahad malam, lapor Xinhua, memetik Premier New South Wales (NSW) Chris Minns.

Menurut Minns, seorang pelaku antara yang terbunuh manakala seorang lagi dalam tahanan, lapor Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Pesuruhjaya Polis NSW Mal Lanyon mengisytiharkan serangan itu sebagai "insiden pengganas."

Terdahulu, news.com.au melaporkan 10 orang terbunuh dalam tembakan di Bondi Beach semasa majlis Hanukkah Yahudi, memetik sumber, menurut Sputnik/RIA Novosti. Laporan itu menyatakan polis percaya serangan telah dirancang selama beberapa bulan.

Perkhidmatan ambulans negeri itu berkata 16 orang telah dibawa ke hospital, dengan beberapa lagi dirawat di tempat kejadian.

Seorang penembak kedua antara mereka yang dibawa ke hospital, dan sekurang-kurangnya dua pegawai polis juga cedera.

Televisyen Nine Network melaporkan sehingga 20 orang ditembak.

Pihak berkuasa berkata tiada lagi ancaman aktif tetapi menggesa orang ramai supaya mengelakkan kawasan berkenaan.

Seorang daripada penembak ialah Naveed Akram dari Bonnyrigg di barat daya Sydney, menurut ABC, memetik seorang pegawai penguat kuasa undang-undang kanan.

Pegawai itu, yang tidak mahu dikenali berkata  rumah Akram di Bonnyrigg sedang diserbu polis.

Ramai ahli komuniti Yahudi berkumpul di pantai untuk meraikan Hanukkah, Perayaan Cahaya Yahudi, pada awal malam itu.

Satu majlis Hanukkah di Melbourne telah dibatalkan, dan komuniti Yahudi di sana berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi berikutan insiden tembakan di Sydney itu, lapor akhbar tempatan Herald Sun.

Kejadian tembakan berlaku sekitar 6:40 petang waktu tempatan apabila sekurang-kurangnya dua lelaki bersenjata senjata api berkuasa tinggi melepaskan tembakan ke arah sekumpulan orang awam.

Amaran dikeluarkan polis sejurus sebelum pukul 7 malam menasihati orang ramai supaya menjauhkan diri daripada  kawasan berkenaan dan sesiapa di lokasi supaya mencari tempat yang selamat.

Rakaman video dan gambar dari tempat kejadian menunjukkan orang ramai melarikan diri dari pantai serta senjata api terletak di atas tanah.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata dalam satu kenyataan bahawa kejadian di Bondi adalah "mengejutkan", dan  Minns menggambarkan insiden itu sebagai amat menyedihkan.

-- BERNAMA-Agensi

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan