Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Ketika 2025 hampir melabuhkan tirai yang sarat membawa pelbagai peristiwa penting dalam sektor penerbangan, berita mengenai usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang akan disambung semula pada 30 Disember ini dijangka mencuri tumpuan pada 2026.
Usaha baharu untuk mencari pesawat Boeing 777 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu mungkin dapat menyelesaikan misteri penerbangan terbesar ini apabila ia hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 dalam penerbangan rutin dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Turut mewarnai sektor penerbangan Malaysia pada tahun ini adalah permintaan penumpang yang kian meningkat, pengembangan kumpulan pesawat oleh kedua-dua syarikat penerbangan utama Malaysian Aviation Group (MAG) dan AirAsia, serta penambahan pelbagai laluan baharu, terutama dari syarikat penerbangan China ke Kuala Lumpur.
Malaysia Airlines antaranya menyambung semula penerbangan ke Paris pada Mac dan ke Brisbane pada November lepas, dan British Airways kembali terbang dari London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas berehat selama lima tahun.
AirAsia pula mula menambah penerbangan ke Istanbul manakala banyak syarikat penerbangan China memulakan penerbangan ke Malaysia.
Selain perkembangan positif ini, sektor penerbangan mengalami cabaran dari segi perubahan laluan akibat konflik dan letupan bom yang menyebabkan penutupan ruang udara antarabangsa, ancaman serangan perisian serta gangguan aerotrain di terminal utama KLIA.
Bukan itu sahaja, baru sahaja reda komen negatif mengenai gangguan aerotrain, kebocoran besar yang berlaku di kawasan berlepas Terminal 1 (T1) KLIA susulan hujan lebat pula sekali lagi menjadi bualan orang ramai.
Bagaimanapun, tahun ini muncul antara tahun paling sibuk dalam sejarah sektor penerbangan Malaysia yang menuntut daya tahan, ketangkasan dan kreativiti yang tinggi daripada syarikat penerbangan, pengawal selia dan operator lapangan terbang untuk mengekalkan pertumbuhan industri.
Walaupun mengalami gangguan seperti penutupan ruang udara Pakistan dan Timur Tengah dan gangguan sekejap-sekejap di Eropah, rangkaian penerbangan Malaysia terus bergerak maju berlandaskan momentum baharu.
Pembaharuan penting yang dilaksanakan antaranya penstrukturan semula kepentingan dan penyelarasan peraturan telah mengukuhkan aspek pengawasan manakala lapangan terbang yang dinaik taraf, pengembangan laluan antarabangsa dan pemulihan yang stabil bagi perjalanan jarak jauh memastikan trafik terus meningkat pada sepanjang tahun.
Kemasukan pemain baharu, pelaburan baharu dan pengembangan kumpulan pesawat telah meningkatkan lagi kesalinghubungan domestik dan serantau ketika Malaysia sedang membuat persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Transformasi MAHB dan Naik Taraf Lapangan Terbang
Antara peristiwa penting pada 2025 adalah penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang menjadi tumpuan pelbagai pihak sekali gus memulakan lembaran baharu dengan memfokuskan kepada prestasi dan transformasi jangka panjang.
Operator lapangan terbang itu dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 25 Februari selepas 25 tahun sebagai entiti tersenarai awam. Ia kali pertama kali disenaraikan pada 30 Nov 1999 pada harga RM2.50 sesaham.
Pengambilalihan MAHB oleh konsortium Gateway Development Alliance, yang awalnya mencetuskan kontroversi kerana mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat Israel, telah selesai selepas penyahsenaraian itu.
Kebolehpercayaan infrastruktur menjadi fokus utama sepanjang tahun ini khususnya di KLIA selepas perkhidmatan aerotrain disambung semula pada 1 Julai berikutan kerja-kerja naik taraf bernilai RM456 juta, mencapai 98.41 peratus ketersediaan operasi dan menawarkan perkhidmatan kepada lebih tujuh juta penumpang setakat ini.
Bagaimanapun, tiga gangguan perkhidmatan aerotren antara Julai dan Oktober mendorong MAHB untuk mengaktifkan pelan tindakan komprehensif bagi memperteguh daya tahan sistem itu menjelang TMM2026.
Namun demikian, gangguan seterusnya memburukkan lagi masalah itu, yang menyaksikan banyak pihak mengkritik tahap penyelenggaraan yang lemah.
KLIA turut melaksanakan penambahbaikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh.
Kira-kira RM30 juta telah dilaburkan untuk menaik taraf T1 KLIA manakala Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) dikuatkuasakan mulai 1 Disember selepas percubaan terhadap sistem itu dapat mengurangkan isu tidak mematuhi peraturan di bahu jalan, daripada 50 peratus kepada 21 peratus.
Pengalaman penumpang yang dipertingkatkan turut diteruskan melalui perkhidmatan Airport FastTrack yang telah dinaik taraf.
Selain KLIA, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh telah menyelesaikan projek pengoptimuman pada April, meningkatkan kapasiti tahunan kepada 700,000 penumpang dengan susun atur terminal yang diperbaharui.
Di sebalik kesemua penambahbaikan ini, cabaran masih melanda antaranya isu kebocoran akibat hujan lebat di T1 KLIA pada November.
Bukan itu sahaja. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lepas mendedahkan sistem digital Malaysia MAHB telah diserang, dengan penggodam menuntut bayaran US$ 10 juta.
Kerajaan bagaimanapun tidak tunduk kepada ugutan itu dan bertekad untuk memperkukuh pertahanan siber negara.
Penambahbaikan Kawal Selia dan Pencapaian Antarabangsa
Sementara itu, perubahan struktur yang besar telah diumumkan pada 1 Ogos menerusi penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), sekali gus membentuk satu badan kawal selia tunggal yang menyelia fungsi teknikal, keselamatan dan ekonomi.
Kira-kira 93 peratus daripada tenaga kerja MAVCOM telah diserap masuk dalam CAAM.
Malaysia juga mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa.
Negara ini dipilih semula ke Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) (Bahagian III) yang beribu pejabat di Montreal untuk penggal 2025-2028.
Kejayaan yang membanggakan bagi Malaysia adalah apabila KLIA telah disenaraikan antara 10 lapangan terbang terbaik dunia dalam tinjauan ASQ (Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang) 2024 bagi terminal yang menguruskan lebih 40 juta penumpang, dengan memperoleh skor 4.99 daripada lima.
Gambaran kepada kedudukan Malaysia yang kukuh di peringkat antarabangsa terbukti apabila pasport Malaysia telah disenaraikan di kedudukan ketiga teratas di dunia dalam Indeks Pasport 2025, dengan menawarkan akses tanpa visa ke 174 negara.
Lebih istimewa lagi adalah apabila pengeluar pesawat dari Amerika, Boeing meluaskan lagi kehadirannya di rantau ini dengan membuka pejabat baharu di Kuala Lumpur pada Julai bagi menyokong usaha keselamatan, rantaian bekalan dan kemampanan.
Penerbangan Baharu Perkukuh Rangkaian Udara Global Malaysia
Berikutan permintaan perjalanan udara melonjak semula selepas pandemik, Malaysia menyaksikan kemasukan beberapa syarikat penerbangan baharu serta penyambungan semula laluan utama.
Beberapa syarikat penerbangan dari China turut menambah kekerapan dan rangkaian penerbangan mereka ke Malaysia.
Syarikat penerbangan tambang rendah China, Jiangxi Air, melancarkan perkhidmatan pertamanya ke Asia Tenggara bagi laluan Nanchang-Kuala Lumpur.
Sementara itu, syarikat penerbangan perkhidmatan penuh Juneyao Air memulakan empat penerbangan mingguan dari Shanghai. China Southern Airlines pula memperkenalkan penerbangan sambungan Urumqi-Kuala Lumpur melalui Guangzhou.
Tidak ketinggalan, China Eastern Airlines yang memulakan penerbangan harian Xi’an-Kuala Lumpur melalui Kunming.
Perkembangan bersejarah turut berlaku pada April apabila British Airways menyambung semula perkhidmatan London-Kuala Lumpur selepas digantung selama lima tahun.
MAHB berkata usaha sedang diteruskan untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan Eropah, termasuk Finnair, Iberia serta syarikat bukan Oneworld dari Jerman, Switzerland, Perancis dan Itali.
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga mengukuhkan hubungan serantaunya apabila Cambodia Airways melancarkan penerbangan terus pertama Phnom Penh-Pulau Pinang pada Jun.
Pengembangan Operasi dan Pemodenan Kumpulan Pesawat
MAG terus memperkukuh pemulihan operasi jarak jauh dan serantau menerusi pelbagai perkembangan penting.
Ini termasuk meluaskan kumpulan pesawatnya dengan melaksanakan hak sedia ada untuk menambah sebanyak 20 pesawat A330neo sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kumpulan pesawat A330neo syarikat itu sebanyak 40 pesawat.
MAG juga menempah 30 pesawat Boeing 737 MAX yang disokong oleh pembekalan 60 enjin LEAP-1B daripada CFM International.
MAG juga menerima tujuh pesawat A330neo dan lapan pesawat Boeing 737-8 pada tahun ini.
Sementara itu, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM54 juta bagi 2024, disokong oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang kukuh berjumlah RM788 juta.
Peralihan kepimpinan turut berlaku dengan pelantikan Kapten Nasaruddin A. Bakar sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan MAG, menggantikan Datuk Kapten Izham Ismail yang akan bersara pada Januari 2026.
Kerajaan Sarawak pula menyempurnakan pengambilalihan MASwings dan menjenamakannya semula sebagai AirBorneo.
Bekas Ketua Pegawai Penerbangan dan Strategi MAHB Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin akan menerajui AirBorneo sebagai CEO mulai 1 Jan 2026, dan menyasarkan untuk mengendalikan perkhidmatan udara luar bandar secara bebas di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Capital A turut mencuri tumpuan apabila memeterai perjanjian bernilai US$12.25 bilion bagi perolehan 50 pesawat Airbus A321XLR selain berada di peringkat akhir untuk keluar daripada status PN17 dengan rancangan memindahkan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X (AAX) menjelang akhir tahun.
Selepas selesai proses berkenaan, lima syarikat di bawah Capital A ialah ADE (kejuruteraan), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform perjalanan), Santan (perniagaan F&B) serta perniagaan pelesenan jenama dan harta intelek (IP) yang kini dikenali sebagai Abc dan akan dinamakan semula sebagai AirAsia NEXT.
Syarikat dalam ekosistem Capital A turut mencatat pencapaian penting, termasuk ADE yang memperoleh kontrak kejuruteraan jangka panjang dengan Air France serta Air France Industries KLM Engineering & Maintenance.
Pendatang baharu, Ascend Airways Malaysia, syarikat sekutu kepada Ascend Airways yang berpangkalan di United Kingdom telah memulakan operasi pada pertengahan November dan akan melancarkan penerbangan pertama pesawat Boeing 737-800SF pada awal 2026.
Malaysia Airlines, yang menambah laluan Paris dan Brisbane tahun ini akan turut memulakan penerbangan ke Chengdu pada Januari 2026.
Firefly pula menambah destinasi seperti Krabi, Siem Reap dan Cebu; AirAsia membuka sembilan laluan baharu termasuk Darwin, Taipei, Pontianak dan Kunming; AirAsia X menambah Karachi, Tashkent dan Istanbul; manakala Batik Air memperkenalkan lebih 20 laluan secara keseluruhan.
Bagi kargo, MJets Air mencipta sejarah dengan perkhidmatan pesawat kargo langsung KL-Sandakan pertamanya pada 23 Oktober.
Cabaran dan Peristiwa Global
Gangguan dalam operasi penerbangan terus menjadi cabaran yang tidak dapai dielakkan, antaranya, gangguan besar pada Mac apabila kemalangan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Heathrow, London yang menjejaskan empat penerbangan Malaysia Airlines.
Penutupan ruang udara Pakistan semasa konflik tiga hari dengan India pada Mei memaksa Malaysia Airlines mengalihkan laluan penerbangan ke London dan Paris melalui Doha, manakala Batik Air membatalkan perkhidmatan ke Lahore dan Amritsar.
Di peringkat global, komuniti penerbangan turut digemparkan dengan kemalangan penerbangan Air India AI171 pada Jun, yang meragut 242 nyawa, sementara ruang udara di Timur Tengah ditutup berikutan pengeboman Iran oleh Amerika Syarikat.
Prospek
Mengenai prospek, Naib Presiden Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) untuk Asia Pasifik Sheldon Hee berkata rantau Asia Pasifik kekal sebagai pasaran penerbangan berkembang paling pesat di dunia, dan Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan gelombang permintaan seterusnya.
Dengan peruntukan geran padanan sebanyak RM50 juta menerusi Belanjawan 2026 bagi merangsang pertumbuhan penerbangan sewa dan antarabangsa, Malaysia menyasarkan 35.6 juta ketibaan pelancong sempena TMM 2026.
Perjanjian perkhidmatan udara dua hala baharu yang dimeterai semasa lawatan Perdana Menteri ke Ethiopia dan Kenya dijangka mengukuhkan lagi jaringan penerbangan manakala penglibatan Anwar termasuk pertemuan dengan syarikat penerbangan dan aeroangkasa Brazil, Embraer di Sidang Kemuncak BRICS, menggariskan komitmen Malaysia terhadap pertumbuhan industri penerbangan.
Meskipun berdepan cabaran yang berterusan, sektor penerbangan Malaysia sebenarnya bersedia melakar lembaran baharu penuh peluang dan pertumbuhan menarik pada tahun-tahun mendatang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial