WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELABUR ASING TERUS CATAT BELIAN BERSIH DI PASARAN ASIA

15/12/2025 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Pelabur asing meneruskan aliran belian bersih mereka di pasaran Asia untuk minggu kedua berturut-turut bagi minggu berakhir 12 Dis 2025, dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak US$949.8 juta.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) dalam laporan aliran dana pada minggu tersebut,  Korea Selatan mencatatkan aliran masuk asing bersih sebanyak US$1.14 bilion, terbesar di rantau ini walaupun petunjuk daripada pasaran tenaga kerja kekal bercampur-campur.

Di Taiwan, belian asing berlanjutan hingga minggu ketiga berturut-turut sebanyak US$820.1 juta, disokong oleh peningkatan ketara dalam momentum perdagangan luar.

Sementara itu, aliran belian bersih di Indonesia berlarutan hingga minggu ke-10 berturut-turut, dengan aliran masuk asing bersih sebanyak US$85.5 juta, disokong oleh momentum penggunaan domestik yang lebih baik.

Dalam negara, katanya pelabur asing kembali kepada jualan bersih selepas aliran masuk pada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar dana asing bersih berjumlah RM472.1 juta.

Katanya belian bersih hanya pada Jumaat, berjumlah RM47.1 juta manakala Isnin mencatatkan aliran keluar tertinggi sebanyak RM195.9 juta, diikuti Selasa (RM145.7 juta), Rabu (RM99.6 juta) dan Khamis (RM78.0 juta).

“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih pada minggu lepas ialah produk perindustrian dan perkhidmatan (RM113.9 juta), telekomunikasi dan media (RM53.2 juta) dan penjagaan kesihatan (RM5.2 juta).

“Institusi tempatan mencatatkan aliran masuk bersih untuk minggu keempat berturut-turut berjumlah RM534.9 juta manakala peruncit tempatan mencatatkan aliran keluar bersih untuk minggu kedua berturut-turut sebanyak RM62.8 juta,” katanya.

Menurut MBSB IB, purata jumlah dagangan harian mencatatkan penurunan secara menyeluruh — peruncit tempatan sebanyak 15.9 peratus, institusi tempatan (2.6 peratus) dan pelabur asing (22.0 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan