WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MUSTAPHA SAKMUD TERAJUI HAL EHWAL SABAH DAN SARAWAK

16/12/2025 06:38 PM

KUALA LUMPUR 16 Dis (Bernama) -- Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI hari ini.

Pelantikan beliau diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sidang media rombakan kabinet di Putrajaya, sebagai langkah memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan agenda pembangunan kedua-dua negeri berkenaan.

Mustapha, Ahli Parlimen Sepanggar, sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia pada 2022 dan seterusnya Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dalam rombakan Kabinet sulung Kerajaan Perpaduan pada Disember 2023.

Sebelum ini, Portfolio Menteri Hal-Ehwal Sabah dan Sarawak diwujudkan pada Mac 2020 dan pernah disandang Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sehingga 2022.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), portfolio itu kemudiannya bertukar tangan kepada Datuk Armizan Mohd Ali yang memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas).

Selepas rombakan Kabinet kali pertama di bawah pimpinan Anwar pada Disember 2023,  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan