WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BERITA RINGKAS SUKAN SEA THAILAND 2025 (16 DIS)

16/12/2025 06:33 PM

BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Berikut adalah kemas kini ringkas mengenai aksi atlet Malaysia di temasya Sukan SEA Thailand 2025 hari ini:

 

KRIKET:

Malaysia menghampiri emas kedua pada Sukan SEA Thailand 2025 apabila skuad lelaki mencatat dua kemenangan cemerlang dalam acara T10 di Asian Institute of Technology, di sini.

Selepas menjuarai emas T20 lelaki Sabtu lepas, Malaysia menewaskan Singapura dengan tujuh wiket sebelum mengekalkan dominasi mereka dengan mengalahkan tuan rumah Thailand sembilan wiket, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan peringkat liga sepusingan (round-robin).

Kemenangan berganda itu mengekalkan Malaysia di tangga teratas carta dengan pasukan kebangsaan dijadual menentang Indonesia dalam perlawanan terakhir mereka di Gelanggang Kriket TerdThai esok.

 

AQUATHLON:

Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara larian-renang campuran selepas empat atlet, Wen May Ng, Sze Hui Teo, Ee Hann Kann dan Nicholas Seh Kit Long, mencatat masa 1 jam 8 minit 37 saat (s) di Leam Mae Phim, daerah Klaeng, lebih dua jam dari sini.

Pasukan kebangsaan tewas kepada Indonesia yang meraih emas dengan catatan 1:04.14s, manakala Filipina membawa pulang perak dengan 1:04.58s.

Sementara itu, Malaysia gagal menempatkan diri di podium dalam acara larian-renang lelaki apabila Harith Aiman Adha Norasli, Yap Qi Yi dan Benjamin John Chen Hong Ren hanya menduduki tempat kelima dengan masa 48:59s.

Indonesia muncul juara dengan 46:23s, diikuti Singapura (46:47s) dan Filipina (47:32s).

 

HOKI:

Skuad hoki lelaki negara mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga sepusingan selepas menewaskan Thailand 6-2 pada aksi terakhir di Universiti Sukan Kebangsaan di Chonburi.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Sarjit Singh mengakhiri saingan liga sepusingan di kedudukan teratas dan akan berdepan Singapura di posisi keempat, pada aksi separuh akhir, Khamis ini.

Satu lagi aksi separuh akhir menemukan Thailand dan Indonesia.

Sementara itu, dalam saingan wanita, Malaysia turut menempati ramalan mara ke separuh akhir selaku juara liga sepusingan biarpun seri 1-1 menentang Thailand pada aksi terakhir.

Di pentas separuh akhir Khamis ini, skuad negara akan membuat perhitungan menentang Singapura sementara Thailand akan bertemu Indonesia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan