WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JENEATH TEKAD PERTAHAN GELARAN JUARA GOLF AMATUR ASIA PASIFIK DI NEW ZEALAND

16/12/2025 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pemain golf negara Jeneath Wong akan melakukan persiapan terbaik dalam misi mempertahankan kejuaraan Kejohanan Wanita Amatur Asia Pasifik (WAAP) yang bakal berlangsung di Kelab Golf Royal Wellington, New Zealand dari 12 hingga 15 Feb 2026.

Jeneath, 21, yang mencatat sejarah sebagai pemain Malaysia pertama menjuarai WAAP di Hoiana Shores, Vietnam pada Mac berazam untuk menjuarai kejohanan golf amatur terkemuka di rantau ini buat kali kedua berturut-turut apabila Royal Wellington menjadi tuan rumah kejohanan itu untuk kali pertama.

"Saya sangat teruja dan bersyukur kerana berpeluang mempertahankan gelaran di Royal Wellington.

"Peluang untuk mempertahankan kejuaraan adalah sesuatu yang istimewa dan melakukannya di venue terkemuka menjadikannya lebih bermakna. Difahamkan, lapangan ini mengutamakan kekuatan pukulan bola dan pengurusan lapangan yang bijak, ini sangat sesuai dengan permainan saya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeneath berkata menjadi pemain pertama Malaysia merangkul kejuaraan WAAP adalah satu penghormatan dengan rasa penuh kesyukuran dan bangga kerana dapat mengharumkan nama negara.

"Menjuarai WAAP merupakan detik yang cukup istimewa, bukan hanya kerana kejuaraan, tetapi kerana ia bermakna untuk sukan golf di Malaysia dan diri saya. Melihat sokongan dari tanah air dan mengetahui bahawa kemenangan itu memberi inspirasi kepada orang lain menjadikannya lebih istimewa. Secara peribadi, ia adalah detik yang mengesahkan segala usaha keras dan pengorbanan saya selama ini.

"WAAP memberi impak besar kepada golf wanita di Asia Pasifik dengan memberi pendedahan kepada pemain muda. Sejak dahulu, saya sentiasa mengikuti kejohanan ini dan menjadi impian pemain amatur di rantau ini. Apabila memenangi kejohanan ini, ia terasa seperti mimpi. Ia menunjukkan kepada bakat muda bahawa terdapat laluan yang tersedia dan impian besar itu boleh dicapai," katanya.

Tiga lagi pemain Malaysia, Charlayne Chong Shin Ling, Nur Maisara Sa’ad dan Foong Zi Yu akan menyertai Jeneath di New Zealand dengan keseluruhannya sebanyak 83 pemain dari 28 negara dijangka bertanding dalam kejohanan ini yang dibangunkan Persekutuan Golf Asia Pasifik (APGC) dan The R&A untuk membangunkan bakat  pemain wanita amatur elit dari rantau ini ke pentas antarabangsa.

Sebanyak 13 pemain daripada kelompok 50 terbaik dalam ranking Golf Amatur Dunia termasuk pemain nombor 12 dunia, Soomin Oh dari Republik Korea dan pemain nombor 15 dunia Rianne Malixi dari Filipina bakal menjadi tumpuan dalam edisi kelapan kejohanan bersama Jeneath.

Jeeno Thitikul dari Thailand muncul juara edisi sulung WAAP pada 2018, yang kemudian terus mencatatkan kemajuan sehingga bergelar pemain wanita profesional nombor satu dunia.

Pemenang WAAP bakal diberi pelepasan ke tiga kejohanan utama pada tahun depan selain menerima undangan untuk beraksi di beberapa kejohanan elit lain antaranya Terbuka Wanita Australia ISPS Handa dan Kejohanan Amatur Wanita ke-123.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan