WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELAN STRATEGIK PENENTU SOSIAL KESIHATAN ORANG ASLI SEDANG DIMUKTAMADKAN - KKM

17/12/2025 12:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memuktamadkan Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli 2025-2035, bagi memastikan komuniti itu mendapat akses  perkhidmatan kesihatan yang setara dengan populasi umum di Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan baharu Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pelan strategik itu dibangunkan melalui pendekatan Whole of Government and Whole of Society bersama 17 kementerian dan agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Ini bagi memastikan intervensi kesihatan bergerak seiring dengan hala tuju pembangunan sosial dan ekonomi Orang Asli pada peringkat nasional ke arah Orang Asli sihat, maju jaya, berteraskan budaya dan kelestarian alam sekitar,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Manolan Mohamad yang meminta pencerahan sama ada kementerian menyediakan pelan tindakan khas kesihatan Orang Asli dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Hanifah berkata pelan strategik itu juga akan berfungsi sebagai pelan tindakan khas kesihatan Orang Asli bagi menyokong komitmen RMK13 iaitu meningkatkan akses dan kesaksamaan perkhidmatan kesihatan Orang Asli melalui pendekatan berasaskan penentu sosial kesihatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 183 sampel atau 5.7 peratus daripada 3,220 sampel makanan yang dianalisis dari Januari hingga September lepas, didapati tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Beliau berkata sampel berkenaan melibatkan daging, ikan, sayur-sayuran serta buah-buahan yang dijual di pasar awam dan pasaran runcit, termasuk produk import yang diperiksa di pintu masuk negara dan pasaran tempatan.

Hanifah berkata pemeriksaan itu, dilaksanakan menerusi Program Pensampelan Makanan berasaskan risiko sepanjang tahun bagi tujuan analisis pelbagai parameter keselamatan makanan, termasuk bakteria patogen seperti Salmonela, E. Coli, logam berat plumbum, residu dadah veterinar seperti agonis beta serta residu racun perosak seperti propamocarb.

“Bagi produk import yang tidak mematuhi peraturan, tindakan penguatkuasaan termasuk arahan penarikan balik produk di seluruh negara, pelupusan, eksport semula serta pendakwaan. Tindakan tahan, uji dan lepas juga dikenakan ke atas kemasukan konsainan seterusnya, selain larangan pengimportan berdasarkan kriteria ditetapkan.

“Bagi produk domestik pula, KKM mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk arahan penarikan balik, pelupusan, siasatan serta pendakwaan terhadap pihak yang melanggar peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai langkah kementerian dalam menjamin keselamatan makanan dan bahan mentah di pasar-pasar awam di seluruh negara, memandangkan wujudnya dakwaan risiko bakteria, logam berat dan penggunaan bahan kimia berbahaya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan