WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN PERUNTUK RM300,000 LAKSANA PJRM MONSUN DI KELANTAN

17/12/2025 03:52 PM

TUMPAT, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan RM300,000 bagi pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Monsun di Kelantan sebagai langkah kesiapsiagaan dan intervensi segera kerajaan sekali gus membantu meringankan kos sara hidup rakyat yang terjejas akibat banjir.  

Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata peruntukan itu disalurkan berdasarkan pemantauan paras air sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran serta ramalan cuaca dan amaran banjir yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).  

Beliau berkata pelaksanaan PJRM Monsun merupakan langkah proaktif kerajaan bagi memastikan penduduk terjejas terus mempunyai akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan, khususnya ketika berlaku gangguan rantaian bekalan berikutan bencana banjir.  

“Sebagai permulaan, PJRM Monsun dilaksanakan di Tapak Futsal Kampung Neting hari ini bermula 10 pagi dengan penawaran barangan keperluan asas pada harga mampu milik, melibatkan penjimatan hingga 30 peratus berbanding harga pasaran kepada penduduk sekitar yang terkesan.  

“Pelaksanaan PJRM Monsun bukan sahaja bertujuan meringankan beban perbelanjaan harian rakyat, malah memastikan kelangsungan serta kebolehcapaian bekalan keperluan asas sepanjang tempoh kecemasan,” katanya kepada pemberita pada program Jualan Rahmah MADANI di sini, hari ini.

Dalam masa sama, KPDN Kelantan turut mempertingkatkan pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan di kawasan terjejas banjir, khususnya di lokasi berisiko terputus hubungan bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dan mudah diperoleh penduduk. 

Beliau berkata selain PJRM Monsun, KPDN Kelantan turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi menggerakkan inisiatif Jualan Rahmah di beberapa lokasi berhampiran pusat pemindahan sementara (PPS) tertakluk kepada keperluan semasa dan situasi banjir.

Dalam tempoh sama, KPDN turut merancakkan pelaksanaan inisiatif di bawah Payung Rahmah termasuk PJRM Bergerak ke kawasan pedalaman, PJRM@Pasar di pasar awam terpilih serta PJRM Musim Perayaan sempena sambutan Hari Krismas.

“Selain itu, KPDN Kelantan turut menganjurkan PJRM Kembali Ke Sekolah dari 18 Dis hingga 10 Jan depan di 43 premis serta melalui PJRM Bergerak terpilih,” katanya.  

Beliau berkata Skuad Ihsan MADANI yang terdiri daripada warga KPDN juga digerakkan bagi melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan terjejas banjir sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada komuniti setempat. 

Fuziah berkata KPDN akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara melalui penyediaan bekalan barangan keperluan asas yang mencukupi, mudah diakses dan berpatutan sepanjang tempoh bencana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan