WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UNTUNG BERSIH SCIENTEX SUKU PERTAMA NAIK 11.1 PERATUS KEPADA RM142.91 JUTA

17/12/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Keuntungan bersih Scientex Bhd meningkat sebanyak 11.1 peratus kepada RM142.91 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Okt, 2025 daripada RM128.61 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Prestasi itu dipacu oleh peningkatan perolehan dalam segmen pembungkusan dan hartanah.

Kumpulan itu berkata perolehan syarikat juga berkembang iaitu sebanyak 4.1 peratus kepada RM1.16 bilion daripada RM1.11 bilion tahun lepas.

Scientex dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan pembungkusan syarikat mencapai RM628.5 juta dan keuntungan operasi pula berkembang kepada RM46.3 juta.

“Peningkatan dalam keuntungan operasi khususnya dipacu oleh campuran jualan yang menguntungkan serta inisiatif penjimatan kos dan kecekapan operasi yang berterusan,” katanya.

Sementara itu, perolehan hartanah mencatatkan RM526.6 juta dipacu oleh jualan yang lebih kukuh dan kemajuan pembinaan yang stabil bagi projek-projek yang sedang dijalankan, katanya.

Kumpulan itu berkata dalam suku tahun yang dinilai, bahagian tersebut berjaya melancarkan projek sulungnya di Jawi, Pulau Pinang dan projek pencakar langit pertama di bandar Seremban, Negeri Sembilan, kedua-duanya menerima maklum balas pasaran yang menggalakkan.

"Secara keseluruhan, lebih banyak projek baharu dilancarkan di seluruh kawasan Utara, Tengah dan Selatan Semenanjung berbanding tempoh sama tahun lepas, menyumbang kepada prestasi yang lebih kukuh bagi bahagian tersebut.

"Seiring itu, keuntungan operasi meningkat kepada RM158.0 juta daripada RM145.9 juta yang dicatatkan pada suku tahun yang sama tahun lepas," katanya.

Mengenai prospek, Scientex berkata kumpulan itu kekal komited untuk meningkatkan daya saing dan meneroka pasaran baharu pada tahun kewangan semasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan