WILAYAH - TENGAH > BERITA

PLUS JANGKA 2.2 JUTA KENDERAAN SEHARI SEMPENA CUTI AKHIR TAHUN

17/12/2025 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan aliran trafik hingga 2.2 juta kenderaan sehari di lebuh raya kendaliannya pada hari puncak 19, 20, 22, 23, 24, 26 dan 27 Dis ini sempena cuti persekolahan akhir tahun dan perayaan Krismas.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan jangkaan itu termasuk pada 2 Jan 2026 dengan Smart Lane akan diaktifkan di 30 lokasi tumpuan trafik bagi membantu aliran trafik di lebuh raya sempena musim percutian dan perayaan kali ini.

Sehubungan itu, PLUS menasihatkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dalam aplikasi PLUS bagi memastikan kelancaran di lebuh raya sepanjang tempoh berkenaan.

"Dengan penambahbaikan terbaharu, jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA boleh diakses bukan sahaja pada musim-musim perayaan, malah pada hari-hari puncak terpilih," menurut kenyataan itu.

PLUS memaklumkan pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi interaksi bersama Pembantu Maya-PUTRI, mengikuti aplikasi X@plustrafik dan aplikasi X @lpt2trafik serta paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara," menurut kenyataan itu.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 atau LPT2Line di 1800-88-0220 yang beroperasi 24 jam sehari untuk mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan