WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ENTOPIA, DEMED TURKIYE METERAI PERJANJIAN FRANCAIS BAGI PERLUAS OPERASI DI LAPAN NEGARA

17/12/2025 06:49 PM

GEORGE TOWN, 17 Dis (Bernama) — Destinasi pembelajaran berasaskan alam semula jadi tempatan  di Pulau Pinang, Entopia hari ini mencatatkan peristiwa penting dengan pemeteraian perjanjian francais eksklusif dengan DEMED Group dari Turkiye.

Perjanjian francais itu membuka jalan bagi memperluaskan operasinya ke lapan negara, sekali gus meletakkannya di pentas global. 

Pengarah Urusan Entopia Joseph Goh berkata perjanjian itu menyaksikan DEMED Group bertindak sebagai rakan kongsi francais eksklusif Entopia di Turkiye, Rusia, Azerbaijan, Kazakhstan, Qatar, Bahrain, Mesir dan Greece bagi tempoh 10 tahun akan datang. 

“Perjanjian ini menandakan pengembangan organisasi yang paling bercita-cita tinggi setakat ini, dan ia berdasarkan sejarah perjalanan selama empat dekad, bermula dengan penubuhan Ladang Rama-rama Pulau Pinang pada 1986.

“Daripada sebuah tempat perlindungan yang diasaskan oleh ayah saya hingga kelahiran semula Entopia pada 2016, setiap dekad membawa pertumbuhan, pembelajaran dan transformasi.

“Hari ini, kami bersedia untuk membawa falsafah pembelajaran alam semula jadi kami merentasi sempadan,” katanya pada majlis memeterai perjanjian di sini hari ini.

Goh berkata mengikut perancangan dua projek Entopia akan dilaksanakan di setiap lapan negara, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap model jenamanya yang dipacu elemen pendidikan dan pemuliharaan. 

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow selepas menyaksikan majlis memeterai perjanjian itu berkata kerjasama itu tepat pada masanya, kerana sektor pelancongan di negeri itu bukan sahaja sedang pulih tetapi juga semakin berkembang. 

Chow berkata Pulau Pinang mengalu-alukan ketibaan lebih 8.2 juta tetamu di hotel di negeri ini pada 2024, manakala dari Januari hingga November tahun ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merekodkan kira-kira 7.22 juta pergerakan penumpang, iaitu kenaikan 5.94 peratus tahun ke tahun. 

Presiden Kehormat DEMED Group dan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Turkiye Firuz Bağlıkaya pula berkata kerjasama itu diasaskan oleh nilai dan komitmen bersama untuk memberi inspirasi serta mendidik masyarakat menerusi pengalaman berasaskan alam semula jadi.

“Keputusan kami untuk bekerjasama dengan Entopia datang dengan sendirinya. Kami percaya kisah Entopia mempunyai kuasa untuk mencapai khalayak yang lebih luas di luar Malaysia,” tambahnya. 

— BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan