WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TOP GLOVE UNJUR JUMLAH JUALAN MENINGKAT KE EROPAH, PENUHI TEMPAHAN TINGGI

17/12/2025 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd mengunjurkan jumlah jualannya ke Eropah akan meningkat dengan ketara pada suku kedua bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Ogos, 2026, disokong oleh tempahan yang tinggi baru-baru ini.

Pengarah Urusannya Lim Cheong Guan berkata permintaan sarung tangan terus melonjak dengan pertumbuhan yang lebih kukuh dan mampan diunjurkan, membolehkan kumpulan tersebut bersaing dengan lebih berkesan selain memperoleh tempahan tambahan merentasi seluruh rantau.

"Memandangkan permintaan sarung tangan terus mengukuh, kami akan terus mengembangkan kapasiti, meningkatkan kecekapan operasi kami dan merebut peluang merentasi pasaran yang sudah ditembusi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat media secara maya mengenai keputusan kewangan Top Glove bagi suku pertama yang berakhir 30 Nov, 2025 hari ini.

Terdahulu, Top Glove mengumumkan keuntungan bersihnya melonjak kepada RM38.58 juta pada suku pertama bagi tahun kewangan 2026 daripada RM5.47 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Prestasi itu dipacu khususnya oleh pertumbuhan jumlah jualan yang kukuh di pasaran utama terutamanya di Amerika Syarikat.

Perolehan merosot sedikit kepada RM883.57 juta pada suku pertama daripada RM885.89 juta sebelumnya akibat persekitaran yang mencabar dan kompetitif, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

“Pada suku pertama tahun kewangan 2026, kami kini bergerak dengan yakin dipacu oleh kecekapan yang dipertingkatkan, operasi yang lebih kukuh dan pasukan yang tahu dengan tepat apa yang diperlukan untuk berjaya,” kata Lim.

Menurut Lim, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan penggunaan kapasiti pengeluaran yang tinggi, Top Glove memulakan semula operasi di empat kilang tambahan yang membawa kepada kapasiti tahunan tambahan sebanyak enam bilion keping menjelang akhir tahun kewangan 2026.

“Pada suku pertama tahun kewangan 2026, kapasiti pengeluaran kami sebanyak 65 bilion keping dengan penggunaan sekitar 73 peratus.

“Memandang ke hadapan, kami menjangka penggunaan akan terus meningkat, mencapai sekitar 75 peratus dalam bulan-bulan yang akan datang apabila jualan bulanan semakin meningkat bermula Disember,” tambahnya.

Mengenai prospek, Lim menekankan bahawa kumpulan itu kekal optimis terhadap prospek keseluruhan industri sarung tangan dan yakin dengan keupayaannya untuk mencapai pertumbuhan jualan yang lebih kukuh pada suku-suku yang akan datang.

Katanya, dengan permintaan yang lebih kukuh dan tempoh menunggu yang lebih panjang, kumpulan melihat peluang untuk meningkatkan harga jualan purata secara berperingkat.

"Keputusan kami memperkukuh kapasiti pengembangan asas dan pelaksanaan yang berdisiplin, memberikan kami keyakinan dalam keupayaan untuk mengharungi dinamik pasaran serta mencapai pertumbuhan yang mampan.

"Seperti mana-mana perniagaan, kami menjangkakan cabaran sekali sekala, tetapi kami yakin bahawa permintaan yang kukuh akan berterusan, disokong oleh beberapa faktor utama," tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan