WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN SEA: MISI MALAYSIA SAPU BERSIH EMAS TERJUN DISEKAT PADA HARI PERTAMA

17/12/2025 08:01 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 17 Dis (Bernama) -- Misi Malaysia menyapu bersih kesemua pingat emas yang ditawarkan dalam acara terjun di Sukan SEA Thailand 2025 tidak kesampaian apabila digagalkan penerjun Singapura pada hari pertama pertandingan di Samut Prakan hari ini. 

Ini selepas Avvir Pac Lun Tham merangkul pingat emas dalam acara 1 meter (m) papan anjal lelaki yang berlangsung di Pusat Akuatik Universiti Assumption, Kampus Suvarnabhumi.

Avvir mengungguli saingan dengan 370.35 mata, menamatkan dominasi Malaysia dalam acara itu sejak edisi 2019.

Penerjun Thailand Chawanwat Juntaphadawon meraih pingat perak dengan 357.80 mata, manakala wakil negara Yong Rui Jie memperoleh pingat gangsa dengan jumlah 354.55 mata.

Seorang lagi penerjun Malaysia Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim menamatkan saingan di tempat kelima dengan 311.35 mata.

Walaupun terlepas emas, Rui Jie menyifatkan pingat gangsa itu sebagai pencapaian peribadi yang penting, terutama kerana 1m papan anjal bukanlah acara kegemarannya.

Malah, penerjun berusia 19 tahun itu berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai penyertaannya sejurus sebelum pertandingan, sebagai pengganti penerjun berpengalaman Muhammad Syafiq Puteh.

Atlet kelahiran Selangor yang membuat penampilan sulungnya di pentas Sukan SEA berkata beliau hanya mempunyai beberapa hari untuk membuat persiapan bagi acara tersebut.

“Papan anjal 1 meter merupakan kelemahan saya. Namun, saya berjaya mengatasinya dan mendapatkan pingat ini.

“Ini merupakan pencapaian besar bagi saya. Sebenarnya, saya baru dimaklumkan akan menyertai acara ini dua hari sebelum pertandingan. Jadi, saya tidak menjangka dapat meraih pingat,” katanya kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun, Rui Jie mengakui sedikit kecewa selepas Singapura menggagalkan permulaan sempurna Malaysia.

Sehubungan itu, beliau kini berharap untuk bangkit semula dan menebus kekecewaan dalam acara seterusnya, 3m papan anjal seirama lelaki bersama Nurqayyum Nazmi, Jumaat ini. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan