WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PINDAAN AKTA FINAS PERKEMAS ASPEK TADBIR URUS, KAWAL SELIA INDUSTRI - PFM

19/12/2025 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Pengukuhan rangka perundangan melalui pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 (Akta 244) dijangka memperkemaskan aspek tadbir urus dan pengawalseliaan industri perfileman, menurut Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM). 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Setiausaha Kehormat PFM Zahrin Aris berkata pindaan tersebut akan melindungi hak dan kebajikan penggiat kreatif sekali gus memperkasa peranan FINAS sebagai peneraju pembangunan industri kandungan tempatan.

Beliau berkata pindaan itu juga diyakini mampu mewujudkan persekitaran industri yang lebih tersusun, telus dan profesional.

“PFM turut melihat pindaan ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kreatif, khususnya dalam merangsang pelaburan tempatan dan asing, memperluas peluang pekerjaan, serta meningkatkan daya saing karya perfileman dan kandungan kreatif Malaysia di peringkat global,” katanya dalam kenyataan. 

Zahrin turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan FINAS atas kejayaan kelulusan pindaan akta berkenaan di Dewan Negara semalam.

Beliau berkata kelulusan pindaan akta itu merupakan satu pencapaian penting dalam sejarah pembangunan industri perfileman negara, selaras keperluan semasa landskap industri kreatif yang semakin berkembang, kompleks dan berdaya saing di peringkat serantau serta antarabangsa.

“Pindaan ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan industri perfileman Malaysia terus relevan, berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan model perniagaan baharu,” katanya. 

Sehubungan itu, Zahrin berkata PFM memberikan komitmen penuh untuk terus bekerjasama secara strategik dengan Kementerian Komunikasi, FINAS, serta semua pihak berkepentingan dalam industri bagi memastikan pelaksanaan pindaan akta itu secara menyeluruh. 

Beliau juga percaya pendekatan kolaboratif antara kerajaan dan pemain industri akan menjadi asas kukuh dalam membina ekosistem perfileman Malaysia yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan