WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SITI KASIM, ANAK GUAM DAPAT GANTI RUGI RM274,375

19/12/2025 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini, memerintahkan peguam Siti Kasim dan anak guamnya dibayar ganti rugi berjumlah RM274,375 berhubung serbuan tidak sah di rumahnya pada Jun 2018.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi membuat keputusan itu selepas membenarkan sebahagian tuntutan saman difailkan Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 62, dan Anis Nur Izzatty Ruslan, 31, pada Januari 2021. 

Mereka menamakan 30 defendan termasuk kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Dalam penghakimannya, Arziah memutuskan serbuan polis itu menyalahi undang-undang kerana dilakukan tanpa sebarang niat untuk menghubungi penghuni rumah terlebih dahulu.

Mahkamah memutuskan kerajaan membayar RM120,625 sebagai ganti rugi am kepada Siti Kasim dan  RM53,750 kepada Anis, selain ganti rugi teladan bersama RM100,000 dan kos RM50,000. 

“Plaintif pertama (Siti Kasim) seorang peguam telah ditahan semasa menjalankan tugas profesionalnya. Tindakan defendan menunjukkan sikap tidak peduli terhadap hak perlembagaan plaintif,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Anis Najwa Nazari mewakili defendan manakala plaintif diwakili peguam A. Surendra Ananth. 

Dalam saman itu, mereka menyatakan Anis mendapatkan bantuan dan perlindungan di rumah Siti Kasim kerana masalah keluarga, tinggal di rumah itu pada 21 Jun 2018 ketika peguam itu menghadiri satu persidangan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, sembilan anggota polis berpakaian preman telah memasuki rumah Siti Kasim dengan memecahkan pintu jeriji dan pintu utama. 

Plaintif mendakwa polis membawa Anis secara tidak sah yang ketika itu bersembunyi di dalam bilik air ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Pada 23 Jun 2018, Siti Kasim telah ke IPD Kajang selepas mengetahui Anis ditahan. 

Siti Kasim mendakwa tidak dibenarkan berjumpa anak guamnya dan kira-kira 11 malam hari sama, beliau ditahan polis atas alasan menculik Anis dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan