WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AUSTRALIA PERKUKUH KERJASAMA DENGAN MALAYSIA DALAM MEMUPUK KESTABILAN, KEMAKMURAN SERANTAU

19/12/2025 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Australia komited untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia pada tahun 2026 bagi memupuk kestabilan dan mempromosikan kemakmuran serantau bersama, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.

Beliau menegaskan bahawa sebagai rakan akrab dan rakan kongsi, Australia dan Malaysia berkongsi visi untuk membina rantau yang stabil, makmur dan mampan.

"Australia komited untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi meneruskan kemajuan yang dicapai pada 2025 melalui agenda berpandangan jauh untuk 2026. Ia didokong oleh tunjang utama perkongsian yang memfokuskan kepada kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi, serta pertahanan dan keselamatan serantau," katanya kepada media terpilih sempena sambutan ulang tahun ke-70 kehadiran perwakilan diplomatik Australia di Malaysia.

Australia merupakan antara negara terawal menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia. Selain itu, Malaysia menjadi hos kepada satu daripada komuniti alumni luar negara terbesar Australia dan kekal sebagai rakan kongsi paling signifikan di Asia Tenggara.

Heinecke turut menyentuh mengenai pengukuhan hubungan yang berterusan merentasi sektor utama seperti pendidikan, pertahanan, perdagangan dan pelaburan, iklim, teknologi, inovasi serta hubungan sesama rakyat.

"Tahun 2025 merupakan tahun mercu tanda yang bukan sahaja mempamerkan keakraban hubungan kedua-dua negara, malah mencerminkan komitmen bersama dalam merangka lembaran baharu perkongsian kami," katanya.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi itu, tahun ini menyaksikan siri inisiatif utama dan acara peringatan, termasuk lawatan peringkat tinggi oleh Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, misi perniagaan dan pelaburan, perjanjian perkongsian serta aktiviti diplomasi awam.

Sebagai Rakan Dialog dan Rakan Strategik Komprehensif pertama ASEAN, Australia turut menyokong keutamaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, termasuk dalam tema 'keterangkuman dan kemampanan' melalui khidmat nasihat, seminar dan latihan.

Dalam bidang pendidikan, kedua-dua negara mengukuhkan kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) pendidikan sekolah antara Jabatan Pendidikan Australia dan Kementerian Pendidikan Malaysia pada Oktober 2025.

Bagi sektor pertahanan, sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di Pangkalan Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth. Australia dan Malaysia turut mempengerusikan bersama Persidangan Keselamatan Siber Maritim ASEAN.

Tahun ini juga menyaksikan penubuhan Pasukan Petugas Harimau antara Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia bagi membanteras penyeludupan dadah.

"Pasukan petugas itu telah berjaya menjalankan lapan operasi yang melumpuhkan rampasan lebih 1.9 tan dadah terlarang, termasuk rampasan terbesar syabu di Malaysia yang disembunyikan dalam 32 tan lilin parafin di Pelabuhan Klang dalam perjalanan dari Iran ke Australia," menurut kenyataan itu.

Dari aspek pelancongan, sehingga Oktober 2025, seramai 207,000 pengembara Malaysia telah melawat Australia dengan jumlah perbelanjaan sebanyak A$900 juta.

Sehingga Disember 2025, kekerapan penerbangan meningkat kepada 125 penerbangan seminggu termasuk pelancaran laluan KL-Darwin oleh AirAsia Malaysia pada Jun dan penyambungan semula penerbangan KL-Brisbane oleh Malaysia Airlines pada November.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan