WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DISIPLIN TAKTIKAL, TEKANAN AWAL KUNCI KEJAYAAN KUCHING CITY — AIDIL SHARIN

20/12/2025 10:34 AM

KUCHING, 20 Dis (Bernama) -- Disiplin taktikal dan tekanan awal menjadi kunci kejayaan Kuching City FC mencatat kemenangan 4-0 ke atas Melaka FC dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri Sarawak malam tadi, kata ketua jurulatihnya Aidil Sharin Sahak.

Beliau berkata pemainnya berjaya melaksanakan pelan permainan dengan baik, khususnya tekanan awal pada 15 minit pertama perlawanan yang membolehkan skuad tuan rumah memperoleh gol pembukaan pada minit ketujuh. 

“Kredit perlu diberikan kepada para pemain kerana mereka melaksanakan apa yang dirancang. Kami tahu Melaka datang dengan momentum kemenangan sebelum ini, sebab itu kami memberi tekanan awal dan ia membuahkan hasil.

“Kami tidak boleh menurunkan tempo permainan. Konsistensi, komunikasi dan mentaliti perlu terus dipertingkatkan kerana perlawanan seterusnya menanti dalam tempoh singkat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, malam tadi.

Aidil Sharin berkata pasukannya kini memberi tumpuan kepada aspek pemulihan pemain serta persiapan taktikal menjelang perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur City (KL City) pada 24 Dis ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Melaka FC K Devan mengakui perbezaan kualiti pemain import dan pengalaman pemain tempatan menjadi antara faktor kekalahan pasukannya di tangan Kuching City.

Beliau turut mengakui kekangan kewangan turut mempengaruhi pemilihan pemain import.

“Kuching City memiliki enam pemain import dengan pengalaman luas jadi komposisi pasukan tuan rumah 60 peratus pemain asing, manakala kami hanya menurunkan tiga pemain import dalam perlawanan ini. Sudah tentu sukar untuk menyaingi mereka. 

“Walaupun kita menang dengan Negeri Sembilan 2-0 (pada perlawanan terdahulu), saya nampak ada jurang perbezaan kualiti paling ketara melibatkan pemain import dan tempatan bagi kedua-dua pasukan,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Kuching City FC melonjak ke kedudukan kedua liga dengan mengumpul 24 mata, sekali gus memintas KL City dengan kelebihan satu mata.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan