WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KESILAPAN MUDAH PUNCA IFC TERLEPAS PELUANG HASILKAN JARINGAN

20/12/2025 11:17 AM

BATU KAWAN, 20 Dis (Bernama) -- Kelemahan benteng pertahanan selain kekerapan pemain melakukan kesilapan mudah sehingga terlepas peluang menjaringkan gol, antara faktor kekalahan Imigresen FC (IFC) menentang Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan di sini, semalam.

Ketua jurulatih IFC Yusri Che Lah berkata kesilapan sama menyebabkan pasukan kendaliannya dihukum dengan tiga jaringan.

“Kita tidak bertahan dengan baik sehingga membenarkan tiga jaringan terhasil ... kita sering melakukan beberapa kesilapan mudah, antaranya dari segi hantaran tidak tepat, saya agak kecewa  … ,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat.

Beliau berkata penilaian menyeluruh perlu dilakukan selain mengakui rentetan kecederaan yang melanda pasukan ketika ini menyebabkan IFC kekurangan pemain untuk diturunkan dan terdapat keperluan untuk membawa masuk pemain baharu bagi memperkuat pasukan menjelang pusingan kedua liga.

“Ketika ini kita hanya mempunyai 20 pemain sahaja yang boleh didaftarkan dan sekiranya tiada penambahan pemain baharu … kita bakal berdepan kesukaran untuk bersaing,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC Badrul Afzan Razali memuji barisan pemainnya terutama barisan pertahanan yang mempamerkan aksi meyakinkan meskipun tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang tidak dapat beraksi kerana mempunyai komitmen lain selain masalah kecederaan dan layangan kad merah.

“Untuk perlawanan ini, tiga pemain utama kita tidak dapat diturunkan, iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili yang mewakili negara ke Sukan SEA, Azam Azmi Murad yang mengalami kecederaan, dan Safwan Mazlan digantung kerana mendapat kad merah.

Sehubungan dengan itu, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dan Muhamad Alif Zakaria telah diturunkan.

Pengendali berusia 49 tahun itu berkata gandingan Muhammad Akhyar Rasid dan Raianderson Da Costa Morais turut cemerlang dalam membantu pasukan melakukan gerakan sehingga berjaya menghasilkan jaringan.

Beliau berkata masih terdapat ruang untuk memperbaiki kesilapan dan berharap pemain kekal konsisten bagi menghadapi perlawanan menentang Sabah pada 23 Dis ini.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu menang tipis 3-2 dengan dua gol dihasilkan oleh Raianderson, manakala satu lagi diperoleh hasil sepakan penalti yang disempurnakan Gabriel Silva Costa.

Sementara itu, dua gol Imigresen dijaringkan Joao Pedro Borira Duarte dan Muhamad Syafiq Danial Mohd Romzi yang menjaringkan gol sendiri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan