WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN SEA 2025: KONTINJEN MALAYSIA PAMER MOMENTUM POSITIF MENJELANG EDISI 2027

21/12/2025 11:19 AM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 21 Dis (Bernama) -- Episod suram pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, yang merupakan antara pencapaian terburuk negara pada temasya sukan dwitahunan tersebut, kini terkubur pada edisi 2025 di Thailand, yang melabuhkan tirainya di sini, malam tadi.

Di sebalik cabaran dari segi logistik terutamanya pemindahan kesemua venue di Songkhla ke Bangkok pada saat akhir susulan banjir menjelang Sukan SEA Thailand 2025 serta jarak lokasi venue yang jauh, kontinjen negara berjaya mengharunginya dengan mencatat pencapaian lebih baik kali ini.

Bukan sahaja memperbaiki prestasi daripada 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa ketika di Kemboja, malah Malaysia bangkit mengumpul 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, sekali gus menutup kempen  dengan 231 pingat secara keseluruhan.

Jumlah berkenaan secara tidak langsung melepasi sasaran 200 pingat ditetapkan sebelum ini, dan mencipta sejarah baharu dengan kutipan tertinggi pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur, mengatasi rekod 216 pingat dicatat pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Malah, kutipan 57 pingat emas digapai di bumi Thailand itu merupakan pencapaian terbaik negara dalam tempoh enam tahun selepas mengutip 55 pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Malaysia juga melonjak tiga anak tangga daripada kedudukan ketujuh pada edisi lepas ke tangga keempat kali ini menerusi carta pingat keseluruhan yang didominasi tuan rumah Thailand selaku juara selepas mengaut 233 pingat emas, 154 perak dan 112 gangsa.

Maka, tidak hairanlah pencapaian itu menghadirkan senyuman pada wajah Ketua Kontinjen Nurul Huda Abdullah ketika sidang media rumusan prestasi atlet negara pada Sabtu, yang berjaya melaksanakan tugas dengan baik memimpin 1,138 atlet, serta memacu mereka menempa sejarah baharu dalam arena sukan tanah air.

Kepuasan juga dirasai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Jefri Ngadirin yang memberikan gambaran momentum positif sedang dinikmati kontinjen negara sehinggakan mereka melaungkan amaran awal  kepada pencabar lain bahawa Malaysia mengintai peluang menjuarai temasya Sukan SEA seterusnya.

Berdasarkan prestasi atlet negara pada Sukan SEA kali ini, banyak pencapaian membanggakan dilakar para atlet yang berjuang selama 11 hari sejak edisi ke-33 temasya dwitahunan itu yang membuka tirai secara rasmi di Stadium Nasional Rajamangala, di sini, 9 Dis lepas.

Daripada keseluruhan 646 muka baharu dipertaruhkan kali ini, sebanyak 255 atau 39 peratus daripadanya berjaya membawa pulang pingat manakala 43 peratus atau 178 daripada 412 atlet muda berusia bawah 21 tahun tidak ketinggalan menaiki podium di Thailand.

Statistik berkenaan menyuntik harapan baharu dan perkembangan baik buat sukan tanah air bahawa negara tidak ketandusan bakat dan seandainya strategi lebih mantap direncanakan, maka tidak mustahil mereka mampu ‘meletup’ pada Sukan SEA 2027 nanti.

Sukan SEA kali ini juga menyaksikan sebanyak enam rekod temasya masing-masing tiga dari sukan olahraga dan menembak serta 13 rekod kebangsaan meliputi enam dari olahraga, lima dari renang dan dua dari berbasikal trek lebur.

Walaupun menyamai rekod lima emas di Kemboja, kem olahraga menjadi kontinjen paling cemerlang dengan pulangan pingat emas, lebih banyak berbanding sukan lain disertai negara.

Dua atlet paling menonjol dari kem olahraga iaitu Muhammad Irfan Shamsuddin yang mempertahankan emas lempar cakera buat kali ketujuh berturut-turut manakala atlet baling tukul besi negara Grace Wong Xiu Mei menampilkan aksi luar biasa apabila memenangi pingat emas dan membaharui rekod temasya sebanyak empat kali dalam satu pertandingan menerusi catatan baharu 65.41 meter (m).

Kelibat atlet pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee tidak menghampakan apabila merangkul gangsa 100m lelaki dan 200m lelaki selain memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 20.72 saat serta merupakan antara kuartet 4x100m lelaki negara yang berjaya meleburkan rekod kebangsaan dengan catatan baharu 39.03 saat.

Antara sukan lain yang turut berjaya dari segi pungutan pingat ialah skuasy yang sukar digugat mana-mana pencabar dengan menyapu bersih kesemua empat pingat emas ditawarkan dan sukan berbasikal trek juga mencuri tumpuan apabila membawa pulang empat pingat emas.

Keampuhan ‘Speedy Tigers’ dan ‘Malaysian Tigress’ masih lagi gagal disekat apabila unggul mempertahankan dominasi mereka bagi sukan hoki padang, manakala kejayaan manis skuad sepak takraw menamatkan kemarau emas 34 tahun dengan menumbangkan tuan rumah Thailand bagi acara regu berpasukan pastinya menjadi momen paling diingati. 

Sukan menembak pula tidak kurang hebatnya apabila membidik tiga emas dengan tiga rekod temasya berjaya dipecahkan antaranya menerusi Gan Chen Jie yang memenangi acara 50m rifle 3 posisi wanita menerusi 451.7 mata, mengatasi rekod terdahulu 451.1 mata milik Phi Thanh Tal dari Vietnam pada edisi 2021.

Seorang lagi penembak Haritz Iklil Hessly Hafiz merangkul pingat emas acara 50m rifle tiga posisi individu lelaki dengan mengumpul 447.5 mata sekali gus mencipta rekod baharu temasya Sukan SEA, memadam rekod lama 445.3 dicipta penembak Thailand Napis Tortungpanich pada edisi 2021.

Bagi sukan tempur pula, Muay Thai paling berjaya dengan pungutan tiga pingat emas yang merupakan pencapaian terbaik mereka di luar Kuala Lumpur dan kejayaan Amir Daniel Abdul Majeed memenangi kategori lelaki bawah 81 kilogram menamatkan penantian sukan judo selama 44 tahun untuk memenangi emas, turut mencuri perhatian di Thailand.

Sukan wushu juga tidak mengecewakan apabila meraih tiga emas, satu perak dan lima gangsa, dengan aksi lincah Tan Cheong Min menyumbang dua emas bagi acara gabungan tiga disiplin nanquan, nandao serta  acara duilian bersenjata berpasukan wanita melayakkannya dinamakan sebagai atlet wanita terbaik negara.

Sukan renang mempamerkan bibit-bibit kebangkitan merangkul dua emas, tiga perak dan lima gangsa, yang kali pertama Malaysia membawa pulang lebih satu emas sejak edisi 2019.

Kejayaan tersebut didorong oleh kuakan mempesonakan Khiew Hoe Yean yang mengungguli saingan 200m dan 400m gaya bebas lelaki sekali gus dipilih sebagai atlet lelaki terbaik Sukan SEA 2025.

Biarpun hanya meraih gangsa selepas menang tipis 2-1 ke atas Filipina, pencapaian skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun kebangsaan wajar diberi pujian memandangkan mereka mengharungi ranjau penuh berliku termasuk pemain yang tidak dilepaskan kelab, kekurangan pemain, penggantungan, serta kecederaan.

Walaupun dibarisi pemain bintang seperti juara dunia beregu lelaki 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan juara beregu campuran 2025 Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, kempen skuad badminton negara berakhir dengan penuh kekecewaan apabila sekadar membawa pulang satu daripada empat emas disasarkan.

Naib juara beregu wanita Kejohanan Dunia 2025 Pearly Tan-M.Thinaah menjadi penyelamat muncul pemenang emas tunggal buat negara dan di sebalik kehampaan dialami, skuad badminton negara tetap melepasi sasaran tujuh pingat secara keseluruhan dengan merangkul sembilan pingat di sini.

Kem terjun pula nyaris ‘tenggelam’ namun pencapaian saat akhir membawa pulang dua emas menerusi gandingan muda negara, Yong Rui Jie-Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki serta Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj-Nurul Farisya Alia Affendi menguasai acara platform seirama wanita sedikit sebanyak melegakan Malaysia untuk terus mengungguli sukan berkenaan.

Pengalaman beberapa atlet yang pernah bersaing pada Sukan Olimpik seperti pemanah Syaqiera Mashayikh dan Ariana Nur Diana Mohamad Zairi dan Khairulnizam Mohd Afendy serta Nur Shazrin Mohamad Latif  dari pelayaran menjadi tanda tanya apabila tidak membuahkan sebarang hasil membanggakan dan gagal menjelmakan emas.

Prestasi sukan tempur lain seperti taekwondo dan karate pula dilihat merudum selepas gagal melunaskan sasaran ditetapkan selepas masing-masing membawa pulang satu dan dua emas sahaja.

Dengan berbaki kurang dua tahun dari penganjuran Sukan SEA 2027 melibatkan empat negeri, iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 Sept, strategi lebih berani perlu diterapkan baik dari MSN, Majlis Olimpik Malaysia dan persatuan sukan kebangsaan, bagi memastikan kontinjen Malaysia kembali disegani dan melakar kejayaan lebih gemilang di laman sendiri.

‘Kap khun krap’ (terima kasih) Thailand, jumpa lagi di Malaysia pada 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan