WILAYAH - UTARA > BERITA

PAMERAN LEGASI MUTIARA PAPAR EVOLUSI PESTA PULAU PINANG SEJAK 1966

21/12/2025 12:36 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusof

GEORGE TOWN, 21 Dis (Bernama) -- Selama hampir enam dekad, Pesta Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong bukan sekadar pesta tahunan, sebaliknya menjadi medan kenangan yang menyatukan generasi demi generasi melalui pelbagai pengisian menarik untuk semua lapisan masyarakat.

Tahun ini, pesta yang memasuki edisi ke-59 itu diraikan dengan penuh makna kerana ia merupakan penganjuran terakhir sebelum ‘direhatkan’ selama enam tahun bagi memberi laluan kepada pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara serta pembangunan berorientasikan transit (TOD) oleh MRT Corp di tapak seluas 8.14 hektar berkenaan.

Menyedari detik bersejarah itu, pihak penganjur tampil dengan pendekatan berbeza apabila memperkenalkan Pameran Legasi Mutiara yang diadakan di ‘Pesta Shop’ yang membawa pengunjung menyusuri perjalanan panjang Pesta Pulau Pinang sejak penganjuran sulungnya pada 1966 sehingga hari ini.

Pengurus Jawatankuasa Ruang Pameran, Perniagaan dan Tempat Hiburan Pesta Pulau Pinang Mas Ayu Siti Asmah Hani Zainul Abidin berkata, pesta bermula sebagai karnival jualan di Padang Kota Lama dan Lebuh Macallum sebelum berpindah secara tetap ke Tapak Pesta Sungai Nibong pada 1974.

"Sejak Mei lepas, jawatankuasa bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Pulau Pinang mengumpul maklumat, bahan, gambar, video, keratan akhbar dan apa sahaja berkaitan penganjuran Pesta Pulau Pinang.

“Kami pamerkan keratan akhbar, brosur lama dan paling istimewa, tiket Pesta Pulau Pinang dari tahun 1978 hingga tahun lepas milik seorang pengumpul,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini..

Koleksi itu dipinjam daripada keluarga Allahyarham guru besar yang meninggal dunia tahun lepas, khusus untuk pameran ketika perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib.

Menurutnya, harga tiket meningkat dari 50 sen pada 1978 kepada RM5 bagi dewasa kini. Koleksi tersebut juga merekodkan tarikh, kenangan dan pemerhatian setiap kali hadir, menjadikannya bukan sekadar bahan pameran tetapi diari kehidupan yang merakam denyut nadi Pesta Pulau Pinang.

Pameran Legasi Mutiara turut menampilkan zon garis masa yang memperlihatkan evolusi pesta, selain tayangan video arkib yang mengimbau suasana penganjuran terdahulu, membangkitkan nostalgia dalam kalangan pengunjung.

Sejak diperkenalkan hampir 60 tahun lalu, Pesta Pulau Pinang telah berkembang menjadi acara pelancongan tahunan berimpak tinggi, memperkukuh kedudukan negeri dalam kalendar pelancongan negara.

Bagi pengunjung, Hafizah Mustaffa, 40, dari Jitra, Kedah, berkata pameran itu memberikan pengalaman berbeza dan menyerlahkan sejarah pesta yang sebelum ini tidak diketahui.

“Kami juga dapat tengok gambar dan video-video lama, ia sesuatu yang baru dan menarik," katanya.

Pesta Pulau Pinang edisi kali ini berlangsung selama 36 hari bermula 6 Dis 2025 hingga 10 Jan 2026, menampilkan pelbagai produk usahawan PKS, agensi negeri serta penyertaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) Pulau Pinang dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

Tapak pesta dilengkapi gerai, parkir, surau, tandas, taman mini, mesin juruwang automatik (ATM) dan pavilion agensi negeri, serta menjadi simbol hubungan diplomatik melalui Pavilion Sumatera Utara, Sumatera Barat, Acheh dan Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan