Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- RHB Banking Group merancang untuk menambah baik kad debit pelbagai mata wangnya dengan menambah dua atau tiga lagi mata wang asing menjelang suku kedua 2026, kata ketua kewangan penggunanya, Sien Vee Loc.
Beliau berkata, Kad Debit Pelbagai Mata Wang RHB yang diperkenalkan pada 2019 untuk memenuhi keperluan pelanggan luar negara seperti pengkreditan gaji, pendidikan, pelaburan dan kiriman wang perniagaan, pada awalnya menyokong hanya kurang daripada 20 mata wang.
Sejak itu, kata Sien, bank tersebut telah memperluaskan penawaran kepada 34 mata wang, termasuk won Korea, riyal Saudi dan rupiah Indonesia dan merancang untuk menambahkannya lagi.
“Kami sedang menimbang peluang untuk memperkenalkan mata wang tambahan sambil mengkaji perubahan tingkah laku perjalanan pelanggan dan destinasi baru muncul untuk perjalanan perniagaan dan peribadi.
"Sekurang-kurangnya dua atau tiga mata wang tambahan sedang dalam perancangan. Kami sedang memuktamadkan butirannya dan berharap dapat mengumumkannya menjelang suku kedua tahun depan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut Sien, RHB Bank terus komited untuk memperkukuh ekosistem pelancongan dan menawarkan perkhidmatan kepada pasaran mesra Muslim yang semakin berkembang.
Segmen pelanggan utamanya termasuk pelancong, ibu bapa dan pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, serta pelabur dalam komoditi emas, perak dan deposit berjangka, katanya.
“Kami menawarkan Kad Debit Pelbagai Mata Wang RHB dan Kad Debit Pelbagai Mata Wang RHB Premier, kedua-duanya tanpa yuran penukaran mata wang, walaupun pengeluaran ATM luar negara dikenakan yuran RM12.
"Meskipun begitu, pelanggan masih dapat berjimat dari segi kos penukaran. Contohnya, apabila mengeluarkan wang di luar negara, kad tersebut menggunakan mata wang yang telah dibiayai, menjadikannya sangat mudah," katanya.
Menurutnya, kad tersebut yang tersedia bagi perbankan konvensional dan juga Islam menyediakan fleksibiliti untuk berurus niaga dalam pelbagai mata wang, menjadikan proses pembayaran antarabangsa lebih lancar dan berkesan dari segi kos untuk pelancong yang kerap melakukan perjalanan, pelajar dan pelanggan perniagaan.
Sien juga berkata pelanggan boleh menetapkan kadar pertukaran mata wang khusus pada bila-bila masa menggunakan kad tersebut.
"Contohnya, dalam keadaan pasaran semasa yang mana yen Jepun berada pada paras yang rendah, pelanggan boleh mendapatkannya sekarang jika mereka merancang perjalanan ke Jepun pada masa akan datang atau untuk tujuan pelaburan," katanya.
Mengenai keselamatan, beliau berkata kad tersebut menggunakan teknologi cip Europay, Mastercard dan Visa (EMV) dan boleh dihubungkan ke dompet digital seperti Apple Pay, Google Pay dan Samsung Pay, yang memerlukan Face ID, pengesahan cap jari atau kod laluan untuk setiap transaksi.
Pelanggan juga boleh serta-merta menyekat kad mereka melalui aplikasi Perbankan Mudah Alih RHB sekiranya hilang, dicuri atau disyaki disalahgunakan, katanya.
"Ini adalah antara langkah yang kami sediakan untuk membantu pelanggan melindungi transaksi mereka. Bagaimanapun, langkah yang paling penting adalah pelanggan tidak berkongsi PIN mereka dengan sesiapa pun," katanya.
Kad Debit Pelbagai Mata Wang RHB mencatatkan pertumbuhan 70 peratus tahun ke tahun dalam pemerolehan pelanggan, dengan lebih daripada 130,000 kad dikeluarkan sehingga Oktober 2025.
RHB Bank menyasarkan pengembangan yang lebih kukuh tahun depan, dengan sasaran penembusan sehingga 80 peratus dalam segmen pelanggan utamanya, dan juga sedang menimbang untuk memperkenalkan kad maya.
Mata wang asing yang ditawarkan bagi kad tersebut termasuk dolar AS, franc Switzerland, Pound Britain, riyal Qatar, dinar Jordan, dong Vietnam, euro, yuan China, rand Afrika Selatan, dolar Hong Kong, taka Bangladesh, krone Denmark, riel Kemboja dan lira Turki.
Mata wang lain yang disokong ialah won Korea, riyal Saudi, rupiah Indonesia, dolar Singapura, dirham Emiriah Arab Bersatu, dolar Kanada, rupee Pakistan, krone Norway, dinar Bahrain, peso Mexico, dolar New Zealand, dolar Australia, dolar Brunei, baht Thailand, peso Filipina, krona Sweden, rupee India, yen Jepun dan zloty Poland.
Kad Debit Pelbagai Mata Wang RHB dan Kad Debit Pelbagai Mata Wang RHB Premier boleh dimohon secara dalam talian atau di mana-mana cawangan RHB.
Permohonan dalam talian biasanya mengambil masa kira-kira seminggu untuk penghantaran kad ke rumah pelanggan.
Bagi permohonan di cawangan, pelanggan boleh menerima kad dengan segera atau memilih penghantaran ke rumah jika mereka memilih kad peribadi dengan cetakan nama mereka.
-- BERNAMA
(Penafian: Ini adalah iklan berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab atas kandungan, ketepatan atau pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial