WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPF PROSES PERMOHONAN PENGELUARAN MODAL SYER RM909.85 JUTA UNTUK TEMPOH 2020-2025

23/12/2025 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) memproses permohonan pengeluaran modal syer berjumlah RM909.85 juta bagi tempoh 2020 hingga 2025 dengan bayaran penuh RM543.6 juta bagi tahun 2020 hingga 2023.

Katanya sepanjang tempoh 2020 hingga 2024, KPF turut membayar dividen berjumlah RM659.7 juta, menjadikan keseluruhan manfaat kepada anggota mencecah RM1.20 bilion sekali gus mencerminkan komitmen berterusan KPF terhadap kebajikan anggota.

"KPF mengakui masih terdapat permohonan pengeluaran bagi 2024 dan 2025 yang sedang menunggu bayaran. 

"Pembayaran ini dilaksanakan secara berperingkat mengikut penggiliran dan aliran tunai semasa, pada masa sama keutamaan bayaran kepada keperluan khas bagi kes mendesak dan kritikal, tertakluk kepada kelulusan serta dokumen sokongan lengkap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPF berkata ia menyasarkan pembayaran berperingkat secara penggiliran ini akan diteruskan berdasarkan kedudukan aliran tunai semasa.

Sehubungan itu, KPF berharap semua anggota dapat terus bersabar serta memahami kedudukan aliran tunai koperasi termasuk hakikat proses menukar aset pelaburan kepada kecairan memerlukan tempoh masa tertentu.

KPF berkata walaupun berdepan kekangan aliran tunai, prestasi kewangan syarikat itu bagi 2025 diunjurkan meningkat dengan keuntungan yang baik, disumbangkan oleh sektor perladangan, pelaburan korporat, hartanah, perkhidmatan ar-rahnu dan pembiayaan.

"KPF menegaskan komitmennya menyantuni permohonan pengeluaran modal syer anggota, namun pelaksanaan bayaran secara penggiliran perlu bagi memastikan kelestarian koperasi. 

"Ini juga merupakan tindakan Lembaga dan pengurusan bagi melindungi kepentingan majoriti lebih 83 peratus anggota yang masih terus setia dan mengharapkan pulangan dividen tahunan yang baik dan munasabah," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan