WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RMHC MALAYSIA TERUSKAN KOMITMEN PROGRAM PEK KEMBALI KE SEKOLAH, 300 MURID TERIMA SUMBANGAN

24/12/2025 01:16 PM

SEREMBAN, 24 Dis (Bernama) -- Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia hari ini mengagihkan Pek Kembali ke Sekolah kepada 300 murid daripada 17 sekolah sekitar FELDA Pasir Besar, Gemas dekat sini, sekali gus membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah menjelang sesi persekolahan baharu.

Presiden RMHC Malaysia serta Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar, berkata pelaksanaan program kali ke-10 itu mencerminkan komitmen berterusan RMHC Malaysia untuk memberi kembali kepada komuniti, khususnya dalam menyokong pendidikan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Dilaksanakan dengan sokongan Yayasan Jaafar Ahmad menerusi sumbangan bernilai RM50,000, beliau berkata inisiatif itu terus memperkukuh usaha berterusan RMHC Malaysia bersama rakan strategiknya dalam membantu pendidikan kanak-kanak yang memerlukan.

“Program ini amat dekat di hati saya kerana saya juga merupakan anak peneroka FELDA dan memahami tekanan yang dihadapi ibu bapa apabila tiba musim persekolahan. Selari dengan teras pendidikan RMHC Malaysia, program ini diwujudkan bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, khususnya anak-anak yang bakal melangkah ke alam persekolahan buat kali pertama.

“Di FELDA Pasir Besar, program ini diperluaskan ke 17 sekolah, membolehkan kami menyantuni lebih ramai keluarga yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang pelaksanaannya sejak 2017, program tersebut telah memberi manfaat kepada hampir 200,000 pelajar di seluruh Malaysia dengan jumlah sumbangan melebihi RM12 juta.

Azmir berkata sempena pelaksanaan program kali ini, RMHC Malaysia menyasarkan pengagihan sebanyak 5,000 pek Kembali Ke Sekolah menjelang sesi persekolahan 2026 sekali gus mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap pendidikan dan masa depan generasi muda. 

Sebagai menyokong inisiatif itu, Yayasan Jaafar Ahmad yang diasaskan Azmir bersama ahli keluarganya memperuntukkan sumbangan sebanyak 350 Pek Kembali ke Sekolah kepada kanak-kanak di Tampin. Daripada jumlah itu, 50 pek diagihkan di Sekolah Kebangsaan Gemas sempena pembukaan restoran McDonald’s Gemas, manakala 300 pek disampaikan hari ini kepada murid di sekitar FELDA Pasir Besar.

Sementara itu, Penasihat Yayasan Jaafar Ahmad, Zainuddin Jaafar, berkata sokongan tersebut bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah menyuntik semangat kepada anak-anak yang bakal memulakan sesi persekolahan awal tahun depan.

“Sebagai anak Negeri Sembilan, saya berbesar hati dapat menyumbang melalui Yayasan Jaafar Ahmad dengan kerjasama RMHC Malaysia bagi membantu anak-anak di negeri ini memulakan sesi persekolahan dengan penuh keyakinan.

“Saya berharap usaha ini menjadi dorongan kepada mereka untuk mencapai cita-cita dan suatu hari nanti memberi kembali kepada keluarga serta masyarakat di negeri sendiri,” katanya.

Setiap Pek Kembali ke Sekolah mengandungi beg sekolah, uniform, kasut sekolah dan set alat tulis lengkap bagi memastikan pelajar memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan berkualiti dan sesuai digunakan sepanjang tahun.

.-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan