WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FIRMA EKUITI PERSENDIRIAN AS BELI HAMILTON ISLAND AUSTRALIA

24/12/2025 11:17 PM

SYDNEY, 24 Dis (Bernama-dpa) -- Firma ekuiti persendirian berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Blackstone, bersedia untuk membeli sebuah pulau ikonik di Terumbu Penghalang Besar, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Blackstone pada Selasa memaklumkan yang ia mencapai perjanjian untuk memperoleh Hamilton Island di Kepulauan Whitsunday, Queensland, daripada keluarga Oatley, yang memiliki pulau itu sejak 2003.

“Hamilton Island merupakan destinasi yang luar biasa dan kami berbesar hati untuk meneruskan visi serta dedikasi yang ditunjukkan oleh keluarga Oatley dalam melabur bagi mentransformasikannya, di samping menambah aset unggul ke dalam portfolio kami,” kata Pengerusi Asia Pasifik Blackstone Chris Heady.

“Layanan mesra dan pelancongan merupakan tema pelaburan utama Blackstone di peringkat global termasuk di rantau Asia Pasifik dan kami membawa skala dan kepakaran operasi untuk melabur serta membangunkan jenama terkemuka,” katanya.

Firma ekuiti persendirian itu juga memiliki pusat peranginan dan hotel di India, Jepun, Maldives, Sri Lanka dan AS.

“Kami amat gembira untuk mempunyai rakan kongsi dengan keupayaan dan sumber seperti Blackstone bagi meneruskan legasi ini, sambil menyokong kakitangan serta komuniti pulau,” kata keluarga Oatley, sambil mengalu-alukan “pemilik baharu, Blackstone.”

Menurut laporan media, nilai urus niaga itu dianggarkan sekitar AUD1.2 bilion (US$810 juta).

Pembelian bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan kerajaan Queensland.

Pulau itu terletak kira-kira 890 kilometer ke utara Brisbane.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan