WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KANAK-KANAK PEREMPUAN HAMPIR LEMAS DI KOLAM MBSP

25/12/2025 11:00 AM

BUKIT MERTAJAM, 25 Dis (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun hampir lemas di kolam kanak-kanak Taman Tema, Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Jalan Betek, semalam.

MBSP dalam kenyataan memaklumkan insiden itu disedari kira-kira 5 petang dan anggota penyelamat kolam yang sedang bertugas bertindak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mengeluarkan mangsa dari kolam sedalam 90 sentimeter sebelum memberikan bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR).

"Bantuan daripada agensi keselamatan dan perkhidmatan perubatan telah dimohon dengan segera serta hasil tindakan awal tersebut, mangsa telah menunjukkan respons dan sedar semula sebelum diserahkan kepada pihak bomba yang tiba 5.20 petang.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam bagi rawatan lanjut dan MBSP ingin menegaskan bahawa aspek keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan dengan anggota penyelamat kolam sentiasa ditempatkan di kawasan operasi sepanjang waktu pembukaan,” menurut kenyataan itu.

MBSP turut memastikan pematuhan SOP keselamatan serta kesiapsiagaan anggota bertugas bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan. Pihaknya juga merakamkan keprihatinan terhadap kejadian tersebut dan mendoakan agar mangsa berada dalam keadaan baik.

Selain itu, MBSP menasihatkan semua ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak, khususnya di kawasan air, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan