KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Aspek kecergasan menjadi fokus utama buat Aaron Chia–Soh Wooi Yik menjelang saingan musim baharu Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun depan, dengan Terbuka Malaysia yang bermula pada 6 Jan menjadi kejohanan pembuka tirai.
Aaron berkata beliau bersama-sama gandingannya kini memberikan penekanan khusus terhadap peningkatan tahap kecergasan, sejajar dengan keperluan fizikal yang semakin mencabar berikutan peningkatan usia dan kepadatan jadual kejohanan.
“Kami harap dapat kekalkan kecergasan dan tahap fizikal. Kami pun selalu mengikuti program latihan yang dibuat, memang ada program pemulihan, jadi itu bukan satu masalah," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.
Sementara itu, Aaron menyambut baik cadangan Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky untuk memilih kejohanan tertentu yang akan disertai oleh pemain kebangsaan.
Menurut Aaron, beliau berharap untuk beraksi kurang daripada 20 kejohanan menjelang saingan musim depan bagi memastikan keadaan dan kecergasan mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.
”Mungkin kira-kira 18 hingga 20 (kejohanan) tahun depan, tetapi kami akan cuba buat bawah 20.
“Saya harap kami juga boleh kekalkan ranking dalam kelompok tiga teratas kerana kadang-kadang kedudukan itu membantu dari segi undian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial